PUTRAJAYA – Setiap kali mendapatkan rawatan susulan untuk membetulkan saraf di bahagian tangan, DSP Mohamad Hasnal Jamil pasti terkenang kembali peristiwa berdarah di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 10 tahun lepas.
Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia yang ditugaskan untuk menyertai Op Daulat bagi memerangi pengganas Sulu pada Mac 2013 itu mengalami kecacatan kekal dan parut di beberapa bahagian badan dalam tragedi berdarah terbabit.
Menceritakan kembali kejadian itu, Mohamad Hasnal berkata tragedi tersebut hampir meragut nyawanya apabila tiga tembakan terkena bahagian perut dan lengan kirinya, selain ditetak di kepala dan tangan dengan kapak oleh musuh di Kampung Simunul, Semporna.
“Sehingga kini, saya masih mendapatkan rawatan susulan untuk membetulkan saraf di bahagian tangan yang tercedera dalam insiden itu, jadi ini tanda yang akan saya ingat seumur hidup…terasa seperti baharu berlaku semalam.
“Kejadian tersebut tidak melemahkan semangat untuk terus berbakti, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan rakan-rakan yang terkorban dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara di sini baru-baru ini.
Menyifatkan insiden tersebut antara cabaran dalam tugasan, pegawai Cawangan Khas Bukit Aman berusia 41 tahun yang berasal dari Kedah itu berkata kecacatan tersebut tidak mengganggu tugasan hakiki beliau untuk terus berkhidmat dalam pasukan berseragam biru itu.
Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul yang turut mengorbankan 68 pengganas Sulu.
Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Enam anggota polis yang terkorban dalam kejadian berdarah di Kampung Simunul yang berlaku pada 2 Mac 2013 itu adalah ACP Ibrahim Lebar, DSP Michael Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abdul Aziz Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Mohd Azrul Tukiran.
Sementara itu, ibu bapa Mohd Azrul yang turut hadir pada sambutan tersebut turut meluahkan perasaan sedih yang tiada berkesudahan.
Ayahnya, Tukiran Ahmad, 75, yang juga bekas askar hadir ke sambutan hari tersebut ditemani isteri, Saadiah Mohd Amin, masing-masing mengesat air mata ketika mengimbas kembali detik khabar duka berita kematian anaknya yang disampaikan oleh pegawai polis.
“Seperti baru semalam kejadian itu bila berita tersebut disampaikan kepada kami walaupun selepas 10 tahun berlaku dan kadang-kadang masih terngiang-ngiang suaranya memanggil kami.
“Siapa yang tidak terkenangkan anak sebab kami hanya ada dua anak lelaki dan dia (Mohd Azrul) dah pergi selamanya,” katanya yang reda dengan kehilangan itu kerana ia adalah pengorbanan anaknya dalam mempertahankan kedaulatan negara. – Bernama