Sunday, January 26, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump arah semak semula dasar AI era Biden

    WASHINGTON, 24 JAN – Presiden Donald Trump kelmarin menandatangani perintah eksekutif berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang membatalkan dasar-dasar kerajaan terdahulu yang didakwa ‘menghalang inovasi AI Amerika.’

    Untuk mengekalkan kedudukan sebagai peneraju global dalam teknologi AI, “kita mesti membangunkan sistem AI yang bebas daripada ideologi atau agenda sosial yang dimanipulasi,” menurut perintah tersebut.

    Perintah baharu itu tidak memperincikan dasar-dasar sedia ada yang menghalang pembangunan AI, namun ia mengarahkan semakan semula terhadap ‘semua dasar, arahan, peraturan, perintah dan tindakan lain’ yang diperkenalkan susulan perintah eksekutif AI oleh bekas Presiden Joe Biden pada 2023, yang kini telah dimansuhkan Trump.

    Sebarang tindakan era Biden perlu digantung jika ia tidak selari dengan arahan baharu Trump yang menetapkan bahawa AI mesti ‘menggalakkan kesejahteraan manusia, daya saing ekonomi dan keselamatan negara.’

    Pada tahun lalu, pentadbiran Biden mengeluarkan arahan dasar yang mewajibkan agensi persekutuan Amerika Syarikat membuktikan bahawa alat kecerdasan buatan mereka tidak memudaratkan masyarakat atau menggantung penggunaannya. Namun, perintah Trump mengarahkan Rumah Putih menyemak semula dan mengeluarkan semula arahan tersebut, yang mempengaruhi bagaimana agensi memperoleh dan menggunakan alat AI.

    Menurut pentadbiran Trump, perintah eksekutif Biden “mengenakan keperluan yang tidak wajar dan membebankan ke atas syarikat yang membangunkan dan menggunakan AI, yang boleh menyekat inovasi sektor swasta serta menjejaskan kedudukan teknologi Amerika”.

    Perintah Trump turut menggesa pembangunan pelan tindakan AI dalam tempoh 180 hari.

    Tugas tersebut akan diketuai oleh sekumpulan pegawai teknologi dan sains Rumah Putih, termasuk seorang Penasihat Khas untuk AI dan Kripto – jawatan baharu yang diberikan Trump kepada kapitalis dan bekas eksekutif PayPal, David Sacks. – AP

    Presiden Trump, bercakap kepada media selepas menandatangani Perintah Eksekutif di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, DC pada 23 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda