WASHINGTON, 2 APRIL – Presiden Donald Trump menolak gesaan untuk mengeluarkan perintah berkurung dalam rumah untuk membendung penularan koronavirus baharu meskipun pentadbirannya meramalkan bahawa puluhan ribu rakyat Amerika mungkin dibunuh oleh penyakit itu.
Bagaimanapun, satu demi satu negeri telah mengeluarkan perintah berkurung mereka sendiri.
Trump berkata semalam beliau mahu memberikan gabenor ‘kefleksibelan’ mengenai sama ada dasar tinggal dalam rumah adalah opsyen terbaik untuk wilayah mereka, namun mengakui beliau sedang menimbangkan mengehadkan perjalanan udara dan kereta api di kawasan paling teruk di Amerika Syarikat.
Presiden masih teragak-agak untuk mengumumkan dasar bersatu walaupun selepas Rumah Putih mengeluarkan ramalan baharu pada Selasa bahawa 100,000 hingga 240,000 warga Amerika mungkin terbunuh akibat koronavirus walaupun jika garis panduan penjarakkan sosial dikekalkan sekarang.
Pakar bedah Jerome Adams berkata semalam sistem persekutuan negara meninggalkan kebanyakan kuasa mengenai cara-cara bertindak balas terhadap krisis kepada gabenor negeri individu dan pegawai tempatan.
“Kami percaya gabenor dan datuk bandar memahami penduduk mereka dan memahami sama ada mereka rasa mereka boleh mempercayai penduduk di negeri mereka untuk membuat keputusan yang betul,” kata Adams dalam rancangan ABC Good Morning America.
Semalam sahaja, lima buah negeri lagi – Florida, Georgia, Mississippi, Nevada dan Pennsylvania – menambah atau melanjutkan perintah berkurung mereka.
Namun, Trump, yang telah mengadakan taklimat harian mengenai respons pentadbirannya terhadap wabak virus sejak tiga minggu lalu, keberatan setakat ini untuk menggesa gabenor untuk mengeluarkan perintah yang akan membantu mewujudkan kuarantin negara.
“Terdapat beberapa negeri yang berlainan,” beritahu Trump kepada wartawan semalam. “Terdapat beberapa negeri yang tidak mempunyai masalah.” – AP