Tuesday, October 22, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuah ganti rakan sepasukan tunai haji

    SEPANG, 3 JUN – Atlet boling padang para wanita Malaysia, Hasmunirah Maliki menyifatkan kejayaan muncul juara pada penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia 2024 di Ekurhuleni, Afrika Selatan, baru-baru ini sebagai tuah menggantikan rakan sepasukan, Jariah Zakaria, yang sedang menunaikan ibadah haji di Mekah ketika ini.

    Hasmunirah mengakui sama sekali tidak menyangka dapat mengharumkan nama Malaysia di kejohanan dunia lebih-lebih lagi selepas mendapat panggilan saat akhir menggalas tugas berat menggantikan Jariah, yang pernah memenangi gangsa Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China.

    “Saya bersyukur dan tidak terkata selepas menang di Kejohanan Dunia. Agak mengejutkan juga dapat beraksi kerana saya dimaklumkan pasukan untuk menggantikan Jariah seminggu sebelum pertandingan bermula.

    “Sebelum ini saya tiada pertandingan buat tempoh agak lama selepas beraksi pada kejohanan 3rd Asia Bowls Championship for the Disabled 2022 di Skudai, Johor. Latihan pula memang kurang namun stamina tetap ada,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dari Afrika Selatan di sini, hari ini.

    Atlet berusia 30 tahun itu muncul juara selepas mengungguli saingan liga kategori B2 (masalah penglihatan) dengan menang kesemua enam perlawanan dan mengumpul 12 mata diikuti wakil tuan rumah yang merangkul perak, Michelle Eshun (9 mata) manakala Louise McLean dari Kanada pula membawa pulang gangsa (2 mata). – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda