Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) memperingati ulang tahun ke-56 dengan mengadakan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Punai, Pangkalan TUDB, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif menekankan bahawa ulang tahun pada kali ini menggunakan konsep unik yang mana ia diselaraskan dengan penutup Eksesais Alap-Alap IX/2022. Beliau berkata lagi, pelbagai cabaran telah dilalui berikutan penularan COVID-19, oleh itu, amat penting bagi TUDB menerapkan fleksibiliti, adaptabiliti dan profesionalisme dalam mendukung keperluan negara.
Beliau juga memaklumkan perkembangan keupayaan terkini dalam TUDB, di mana antaranya ialah Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS), 39 Skuadron yang telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk meningkatkan pengawasan dan kesedaran situasi ruang udara serta pengiktirafan sistem Aerial Gunnery, Minigun M134D yang akan menambah kuasa tembakan untuk pertahanan udara-kedarat.
Tambahnya, usaha untuk mempertingkatkan keupayaan udara memerlukan anggota yang berkemahiran dan berkebolehan, dan perlu konsisten dan komited, sejajar dengan nilai teras TUDB, Service Above Self, Teamwork and Excellence.
Pemerintah TUDB kemudian menyempurnakan pelancaran akaun Instagram rasmi bersempena Hari Ulang Tahun TUDB ke-56, yang akan dapat memperluaskan jangkauan maklumat dan berita terkini mengenai TUDB kepada orang ramai. Majlis diikuti dengan upacara memotong kek oleh Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif dan diteruskan dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Agama TUDB, Pengiran Fakhrul Syakirin bin Pengiran Haji Zainuddin bagi memberkati majlis berkenaan.