SHAH ALAM, 24 Jun – Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tuduhan bahawa beliau dan isteri memiliki ratusan juta ringgit dalam beberapa akaun bank di luar negara, jelas berniat jahat untuk mencemarkan reputasinya.
Beliau berkata individu terbabit sepatutnya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya ada bukti dan bukannya membuat tuduhan tidak berasas.
“Jika mana-mana individu yakin ada bukti kukuh tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan.
“Ini satu perkara yang tidak harus berlaku dalam suasana hari ini, ia merupakan satu fitnah untuk mencemarkan reputasi saya,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di sini, hari ini. – Bernama