LONDON, 26 NOV – Kira-kira tujuh juta orang dewasa di United Kingdom (UK) memiliki aset kripto, menurut anggaran pengawal selia kewangan negara itu. Satu daripada lapan atau 12 peratus orang dewasa di UK memiliki mata wang kripto, meningkat daripada 10 peratus (sekitar 5 juta orang dewasa) pada 2022, menurut Pihak Berkuasa Kelakuan Kewangan (FCA).
Secara purata pegangan mata wang kripto berjumlah AS$2,307, lapor PA Media/dpa.
Kaedah utama pembiayaan aset kripto dalam kalangan pengguna kekal sebagai wang tunai/pendapatan boleh guna individu (72 peratus).
Kesedaran mengenai aset kripto didapati tinggi dalam kalangan rakyat UK dengan 93 peratus mengakui mereka mengetahuinya melalui kajian terbaharu.
Media tradisional adalah sumber utama pertama orang awam mengetahui tentang aset kripto, menurut kajian itu, dengan berita dalam talian termasuk blog dan forum berkongsi tempat kedua bersama media sosial.
Dalam kalangan pengguna kripto, rakan dan ahli keluarga didapati sebagai sumber maklumat paling biasa untuk pertama kali mendengar tentang aset kripto. – Bernama