Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Kerjasama daripada orang ramai serta langkah yang diambil dalam sama-sama mengekang penularan COVID-19 adalah sangat penting, di mana pendekatan seluruh negara memainkan peranan ke arah mencapai penyelesaian secara lebih berkesan.
“Alhamdulillah dengan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda sendiri telah memperkenankan pelbagai langkah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.”
Demikian telah ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau seterusnya menambah bahawa kerjasama daripada pelbagai pihak iaitu antara pemimpin dan masyarakat adalah sangat penting, kerana jika salah satu daripadanya tidak memberi kerjasama, maka segala perancangan dan langkah sukar dilakukan dengan berkesan.
“Contoh seumpama ini dapat dilihat terutama di Eropah. Justeru seperti yang saya katakan sebelum ini, semua ini memerlukan pendekatan ‘whole of nation’ daripada semua pihak.
“Oleh itu, kita seharusnya menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan berterima kasih kepada masyarakat umumnya kerana sama-sama berusaha untuk menjayakan langkah bagi mencegah penularan wabak COVID-19,” tambahnya.
Dalam menjawab persoalan mengenai ramalan bagi tempoh langkah larangan perjalanan, penutupan masjid, sekolah dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata “Jika tiada sebarang jangkitan berlaku, kita perlu menunggu dalam tempoh sebulan atau 28 hari jika penularan ini benar-benar sudah terkawal.
“Dalam tempoh itu , sekurang-kurangnya kita meninjau semula sama ada langkah atau perancangan yang telah dijalankan itu berjaya atau sebaliknya,” katanya.
Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan mengenai ciri-ciri COVID-19, yang mana virus berkenaan belum lagi dapat difahami secara mendalam bagaimana ia menular.
“Tetapi melalui pengalaman di China, jangkitan semula COVID-19 terhadap pesakit tidak banyak dicatatkan,” kongsinya lagi.
“Kita perlu membezakan sama ada ia apa yang kita panggil sebagai ‘residual infection’ (baki jangkitan) ataupun ‘reinfection’ (jangkitan semula).”
Tetapi mengikut apa yang difahamkan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berpendapat bahawa dari tarikh mereka keluar dengan ‘re-swab’ kemungkinan besar ia adalah baki jangkitan dan bukannya jangkitan semula.