DAMSYIK, 15 DIS – Turkiye membuka semula kedutaannya di Damsyik kelmarin, hampir seminggu selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan oleh tentera yang disokong oleh Ankara, dan 12 tahun selepas pejabat luar diplomatik itu ditutup pada awal perang saudara Syria.
Langkah itu diambil ketika diplomat Timur Tengah dan Barat bertemu di Jordan untuk rundingan peringkat tertinggi mengenai Syria, dan sehari selepas perayaan di seluruh negara terhadap penyingkiran Assad.
Ankara telah memain peranan utama dalam konflik Syria, memegang kuasa besar di barat laut dan membiayai kumpulan bersenjata di sana, selain mengekalkan hubungan kerja dengan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang memimpin serangan yang menjatuhkan Assad.
Bendera Turkiye berkibar di misi diplomatik, di daerah Damsyik, dengan kehadiran diplomat baharu, Burhan Koroglu, kata seorang wartawan AFP.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, Jumaat lalu berkata kedutaan itu beroperasi kelmarin, dan Ankara telah menggesa penyokong Assad di Rusia dan Iran supaya tidak campur tangan ketika pemberontak yang diketuai Islam melancarkan kemaraan mereka minggu lalu.
“Perkara yang paling penting ialah bercakap dengan Rusia dan Iran untuk memastikan bahawa mereka tidak campur tangan dalam strategi ketenteraan… Mereka faham,” kata Fidan kepada rangkaian televisyen swasta, NTV.
Diplomat Turkiye menyertai rakan sejawat dari Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan dunia Arab kelmarin untuk rundingan di bandar Aqaba, Jordan.
Utusan khas PBB untuk Syria, Geir Pedersen, menggesa peserta rundingan untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan memastikan ‘institusi negara itu tidak runtuh.’ – AFP