MOSCOW, 7 OGOS – Syarikat Twitter berkata data peribadi tertentu pengguna mungkin menjadi sasaran pengiklanan tanpa kebenaran mereka susulan masalah penetapan rangkaian sosial, lapor agensi berita Sputnik.
Menurut satu kenyataan, syarikat itu baru-baru ini telah mengesan masalah berkaitan pilihan penetapan, yang mungkin ‘tidak berfungsi seperti yang diharapkan’.
“Jika anda mengklik atau melihat satu iklan untuk satu aplikasi mudah alih dan seterusnya berinteraksi dengan aplikasi mudah alih itu sejak Mei 2018, kita mungkin berkongsi data tertentu (seperti kod negara dan lainnya) dengan ukuran dan rakan pengiklan yang dipercayai, meskipun anda tidak memberikan kebenaran kepada kami untuk berbuat demikian,” kata syarikat itu. Masalah itu dipulihkan pada 5 Ogos, namun orang yang mungkin terjejas, masih disiasat, katanya. – Bernama