Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uber catat pertumbuhan dua digit di Korea Selatan

    SEOUL, 30 OGOS – Ketua Pegawai Eksekutif Uber, Dara Khosrowshahi berkata hari ini syarikat pengangkutan awam global itu mencatat pertumbuhan dua digit di Korea Selatan dan kekal komited kepada pasaran negara tersebut, meskipun mempunyai bahagian pasaran yang kecil.

    Uber memasuki pasaran Korea Selatan sepuluh tahun lalu, tetapi menghadapi tentangan hebat daripada pemandu teksi tempatan, mencetuskan larangan oleh pihak berkuasa Seoul terhadap perkhidmatan UberX kerana menggunakan pemandu persendirian tanpa lesen komersial.

    Akibatnya, perkhidmatan tersebut terpaksa dihentikan.

    Untuk mengatasi cabaran tersebut, Uber telah menjalin kerjasama dengan rakan tempatan dalam usaha mencabar dominasi monopoli teksi Kakao, yang menguasai 90 peratus pasaran.

    Disebabkan peraturan tempatan, kerjasama itu hanya membenarkan padanan penumpang dengan teksi berlesen, berbeza dengan model perniagaan Uber di pasaran lain.

    Selepas penjenamaan semula pada Mac lalu, Uber melihat peningkatan dalam prestasi, mencatatkan pertumbuhan dua digit setiap bulan dari segi jumlah penumpang dan penyertaan pemandu. “Penggunaan perkhidmatan oleh pelancong antarabangsa di Korea telah meningkat lebih dua kali ganda selepas penjenamaan semula,” kata Khosrowshahi.

    “Kebanyakan teksi Uber di Korea kini tiba dalam tempoh tiga minit selepas ditempah,” jelasnya.

    Khosrowshahi turut mengakui Korea Selatan merupakan pasaran yang menarik tetapi juga mencabar, memandangkan syarikat Barat sering menghadapi kesukaran untuk menembusi pasaran ini.

    “Inilah sebabnya kami memilih untuk bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan,” tambahnya. – AFP

    Khosrowshahi bercakap semasa sidang akhbar di Seoul pada 30 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda