Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UFO di Rimba?

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2001 – Sepasang suami isteri mendakwa melihat objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di ruang udara Gadong pada kira-kira pukul 12:30 tengah malam ketika dalam perjalanan pulang dari satu majlis makan malam di Jerudong.

    Philip Chua, seorang ahli perniagaan mendakwa beliau yang mula-mula terlihat UFO itu di kawasan Jalan Tungku Link terkejut dengan satu objek yang mempunyai cahaya amat terang di langit.

    Beliau yang pada masa itu kebetulan membawa kamera terus memberhentikan kereta dan mengambil gambar objek itu. Bagaimanapun objek berkenaan terus hilang seolah-olah tahu bahawa ‘dirinya’ akan digambar.

    “Pada mulanya saya amat kecewa kerana tidak sempat mengambil gambar objek itu tetapi tertanya-tanya mengenai objek yang turut dilihat oleh isterinya sama ada ia benar-benar UFO atau pun hanya cahaya lampu,” katanya ketika ditemui Media Permata.

    Isterinya, Silvia Goh Mei Ling, turut mengakui cerita suaminya itu.

    Ketika melalui jejambat berdekatan Emperor’s Court tidak lama selepas itu, dakwanya mereka terlihat objek itu muncul sekali lagi dekat Rimba, Gadong.

    Chua terus memberhentikan kereta dan mengambil gambar objek berkenaan, tetapi sebaik saja beberapa gambar diambil, objek itu terus hilang. Pasangan suami isteri itu masih menunggu munculnya objek berkenaan selama 10 minit namun hampa.

    Pada keesokan harinya, beliau menghantar filem itu ke kedai kawannya untuk diproses di Tutong tetapi ‘kejadian aneh’ berlaku apabila kawannya memproses filem, iaitu seluruh kedai Tutong terputus bekalan elektrik selama sejam.

    Bagaimanapun beliau merasa lega kerana objek yang dirakamkan ada dalam gambar berkenaan dan terus memberitahu kawan-kawannya mengenai objek yang dilihatnya.

    Sementara itu sumber Bahagian Kawalan Lalu lintas Udara Jabatan Penerbangan Awam ketika dihubungi mengesahkan tidak dapat mengesan semua objek melainkan pesawat yang dipasang peralatan airbone seperti radar yang bertindak balas sebagai tanda kedatangan sesebuah pesawat itu ke bahagian kawalan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda