SAN FRANCISCO, 26 MEI – Syarikat pemula Elon Musk, Neuralink berkata semalam ia menerima kelulusan daripada pengawal selia Amerika Syarikat (AS) untuk menguji implan otaknya pada manusia.
Neuralink berkata kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk kajian klinikal dalam manusia yang pertama adalah ‘langkah pertama yang penting’ untuk teknologinya, yang bertujuan membolehkan otak berhubung terus dengan komputer.
“Kami teruja untuk berkongsi bahawa kami telah menerima kelulusan FDA untuk melancarkan kajian klinikal pertama dalam manusia,” kata Neuralink dalam catatan di Twitter yang dikendalikan oleh Musk.
Pengambilan calon untuk percubaan klinikal masih belum dibuka, menurut Neuralink.
Matlamat implan Neuralink adalah untuk membolehkan otak manusia berkomunikasi secara langsung dengan komputer, kata Musk semasa pembentangan oleh syarikat itu pada Disember.
Syarikat itu mendakwa bahawa pemasangan cip dalam tengkorak manusia boleh memulihkan fungsi anggota badan, meningkatkan pergerakan manusia, menyelesaikan masalah penglihatan dan pendengaran selain membantu mereka yang menghidap penyakit seperti Parkinson.
Dengan bantuan robot pembedahan, sebahagian tengkorak digantikan dengan cakera Neuralink, dan wayar tipisnya dimasukkan secara strategik ke dalam otak.
Cakera itu mencatatkan aktiviti saraf, menyampaikan maklumat melalui isyarat wayarles Bluetooth biasa kepada peranti seperti telefon pintar, menurut Musk. – AFP
