LONDON, 2 APRIL – Perdana Menteri Boris Johnson berkata Britain akan ‘menambah ujian secara besar-besaran’ di tengah kritikan yang meningkat hari ini mengenai kegagalan kerajaan untuk menyediakan pemeriksaan koronavirus.
Dalam satu pesanan video yang disiarkan dalam talian pada malam semalam dari Downing Street, di mana beliau telah dikuarantin sejak mengumumkan pada 27 Mac bahawa beliau telah dijangkiti virus itu, Johnson berkata ujian merupakan ‘cara untuk membendung penularan.’
“Kami juga menambah ujian. Seperti yang saya katakan berminggu-minggu lama bahawa ujian ini adalah cara untuk membantu melawan pandemik ini,” kata Johnson.
“Ia adalah cara kami menyelesai teka-teki koronavirus, inilah caranya kami akan menewaskannya.”
Beliau memberikan reaksi terhadap kritikan yang dilempar terhadap kerajaannya, terutamanya dalam media, selepas pegawai mendedahkan hanya 2,000 daripada setengah juta kakitangan dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) yang telah diuji. Terdapat juga laporan mengatakan kakitangan diusir dari pusat ujian pandu lalu disebabkan mereka tidak mempunyai dokumen yang betul, atau yang lain ditinggalkan disebabkan ujian hanya dilakukan menerusi temu janji.
Angka yang disiarkan semalam menunjukkan 2,352 orang dengan COVID-19 telah meninggal dunia di UK, pertambahan sebanyak 563, peningkatan terbesar dalam sehari. Dua daripada kematian adalah pegawai perubatan.
Ujian untuk orang awam juga telah dikecam sebagai tidak menyeluruh. – AFP