LONDON, 29 APRIL – United Kingdom kelmarin telah menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri yang juga Menteri Hal Ehwal Luar dan Ekspatriat Pihak Berkuasa (PA) Palestin, Mohammad Mustafa ke London.
Kunjungan itu menandakan lawatan rasmi pertama oleh pemimpin Palestin sejak 2021 serta mencerminkan komitmen baharu bagi mempererat hubungan dua hala serta memperkukuh usaha damai di Timur Tengah.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Setiausaha Luar, David Lammy menjadi hos kepada Mustafa dalam satu sesi diplomatik berprofil tinggi yang memperlihatkan sokongan berterusan UK terhadap rakyat Palestin dan Pihak Berkuasa Palestin, lapor agensi
Anadolu.
Antara hasil utama lawatan itu adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) penting antara UK dan Pihak Berkuasa Palestin, menurut kenyataan kerajaan Britain.
Perjanjian itu mengesahkan komitmen kedua-dua pihak terhadap penyelesaian dua negara dan menegaskan kedudukan Pihak Berkuasa Palestin sebagai satu-satunya badan pemerintahan sah di Wilayah Palestin yang diduduki.
“Lawatan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan kami dengan Pihak Berkuasa Palestin, rakan utama untuk keamanan di Timur Tengah pada saat yang kritikal,” kata Lammy.
Inisiatif itu merangkumi usaha meningkatkan kemampanan kewangan, meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus, serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat Palestin. – Bernama
