STOCKHOLM, 20 FEB – Sweden mengumumkan hari ini bahawa mereka akan memberikan peralatan ketenteraan bernilai 7.1 bilion kronor (AS$682 juta) kepada Ukraine, sebagai sokongan tambahan kepada negara itu dalam usahanya untuk melawan pencerobohan Rusia.
“Kami terus menyokong Ukraine berdasarkan soal kemanusiaan dan keadilan.
“Rusia memulakan perang haram, tanpa provokasi dan tidak dapat dipertahankan,” kata Menteri Pertahanan, Pal Jonson semasa sidang akhbar. Pakej itu akan terdiri daripada peluru artileri, pertahanan udara, bot dan senjata bawah air seperti periuk api dan torpedo serta latihan untuk askar Ukraine.
Ia menandakan pakej bantuan Sweden yang ke-15 kepada Ukraine dan merupakan yang terbesar setakat ini.
Sebelum ini, Sweden telah menghantar sistem artileri mudah alih Archer, 50 daripada kenderaan tempur berperisai CV90 serta kira-kira 10 kereta kebal Leopard 2 dan sistem peluru berpandu anti-udara.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum perang di Ukraine memasuki tahun ketiga selepas pencerobohan Rusia pada 24 Februari 2022. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P20-E-web-Freepik_21022024.jpg)