Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNESCO lindungi 34 tapak warisan Lubnan

    PARIS, 19 NOV – Puluhan tapak warisan di Lubnan diberikan ‘perlindungan ditingkatkan sementara’ oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) kelmarin, yang menawarkan perlindungan undang-undang lebih tinggi berikutan pertempuran yang berterusan antara tentera Israel dan Hizbullah.

    Sebanyak 34 hartanah budaya yang terjejas kini ‘mendapat perlindungan imuniti tertinggi terhadap serangan dan penggunaan untuk tujuan ketenteraan,’ menurut kenyataan UNESCO.

    Beberapa serangan Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini di timur Lubnan, Baalbek dan di selatan Lubnan, Tyre, kedua-duanya merupakan kubu kuat Hizbullah yang disokong Iran, dilaporkan hampir mengenai runtuhan purba Rom yang dinamakan sebagai tapak Warisan Dunia.

    UNESCO menyatakan keputusan tersebut membantu menyampaikan mesej kepada seluruh komuniti antarabangsa mengenai keperluan mendesak untuk melindungi tapak-tapak berkenaan.

    “Kegagalan untuk mematuhi klausa-klausa ini akan dianggap sebagai ‘pelanggaran serius’ terhadap Konvensyen Hague 1954 dan… boleh dijadikan asas untuk tindakan pendakwaan,” tambah kenyataan itu.

    Hizbullah dan Israel telah berperang sejak akhir September, selepas Israel mengalihkan tumpuannya daripada pertempuran menentang Hamas di Gaza kepada serangan di sempadan utaranya, walaupun konflik di Gaza masih berterusan. – AFP

    Dua lelaki berdiri di hadapan hotel Palmyra yang bersejarah dari abad ke-19 di lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan Baalbek di Lembah Bekaa timur Lubnan pada 7 November lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda