Wednesday, June 26, 2024
33.9 C
Brunei

    -

    Unit antikeganasan Indonesia jalankan operasi lepas tahan suspek

    JAKARTA, 16 JUN – Unit antikeganasan Indonesia, Densus 88, menjalankan operasi menggeledah sebuah rumah sewa di daerah Karawang, wilayah Jawa Barat pada Sabtu berikutan penahanan seorang suspek pengganas.

    Operasi itu disokong oleh polis dari Cikampek dan Karawang, melibatkan pengumpulan bukti di Kampung Kamojing Barat, Cikampek, bermula pada 8:30 pagi waktu tempatan dan selesai menjelang tengah hari.

    Ketua Polis Cikampek, Pesuruhjaya Aries Riyanto dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, “Keselamatan tambahan semasa pencarian berjalan lancar dan dalam keadaan kondusif.”

    Ketua kampung, Rawan, mengenal pasti suspek sebagai seorang lelaki dalam lingkungan 50an yang telah tinggal di rumah itu sejak 12 Mei, menjual bubur dari motosikal dan jarang berinteraksi dengan jiran.

    Portal berita Media Indonesia melaporkan bahawa pegawai kampung dan pemilik rumah turut hadir semasa pencarian dilakukan.

    Gambar Freepik

    Bagaimanapun, butiran rasmi daripada polis mengenai penahanan dan barang-barang yang dirampas, termasuk serbuk putih dan kuning dari rumah yang didiami suspek pengganas, belum dikeluarkan.

    Dalam kenyataan berasingan, Agensi Antikeganasan Kebangsaan (BNPT) memuji tindakan proaktif penguatkuasaan undang-undang Densus 88 di bawah Polis Nasional berikutan penahanan pesalah pengganas berulang di Cikampek.

    Ketua BNPT, Pesuruhjaya Mohammed Rycko Amelza Dahniel menyatakan bahawa penahanan itu menekankan komitmen penguatkuasaan undang-undang untuk mencegah keganasan yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.

    “Usaha proaktif oleh penguatkuasaan undang-undang ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada kemungkinan berlaku tindakan kekerasan yang lebih serius,” tambahnya.

    Menurut jurucakap polis Indonesia, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, suspek terlibat dalam aktiviti keganasan yang mempunyai kaitan dengan Daesh di Karawang dan sebelum ini telah disabitkan kesalahan berkaitan keganasan pada 2011 dan 2018. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kelahiran Korea Selatan kembali pulih pada bulan April

    SEOUL, 26 JUN - Kelahiran di Korea Selatan kembali pulih dalam tempoh 19 bulan di tengah-tengah kebimbangan yang berlarutan mengenai penurunan berterusan dalam jumlah...