Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNSC adakan mesyuarat tergempar mengenai Lubnan

    NEW YORK, 26 SEPT – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin untuk menangani konflik yang semakin meruncing antara Hizbullah dan Israel, ketika keadaan Lubnan terus merosot.

    Ia adalah mesyuarat kedua mengenai Lubnan dalam tempoh seminggu, seperti yang diminta oleh Perancis. Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran bahawa ‘keadaan di Lubnan semakin genting,’ menekankan betapa seriusnya krisis yang sedang berlaku.

    Dalam ucapannya, Guterres menggesa Majlis Keselamatan untuk bekerja secara serentak bagi menamatkan keganasan yang semakin meningkat antara tentera Israel dan kumpulan Hizbullah merentasi Garis Biru, zon penampan di selatan Lubnan.

    Hizbullah dan Israel mesti menarik diri daripada kemungkinan peperangan serantau yang dahsyat, katanya, sambil menambah bahawa terdapat perpindahan besar-besaran orang awam dari selatan dan timur Lubnan ke ibu negara, Beirut.

    Dengan rayuan agar kedua-dua pihak menghormati kedaulatan Lubnan, Guterres berkata bahawa Lubnan ‘mesti mempunyai kawalan penuh terhadap senjata di seluruh negara.’

    Antonio Guterres bercakap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan di ibu pejabat PBB, pada 25 September. – AFP

    “Kami menyokong semua usaha untuk memperkukuh Angkatan Tentera Lubnan,” tambahnya.

    “Kami menyatakannya dengan jelas dan jujur, apa yang kami saksikan sepanjang tahun lepas di Gaza dan apa yang kami lihat sekarang di Lubnan berkemungkinan merebak ke kawasan lain di rantau ini jika masyarakat antarabangsa tidak memikul tanggungjawab untuk menghentikan mesin kematian dan kemusnahan,” kata Badr Ahmed Mohamed Abdelatty, Menteri Luar, Imigrasi dan Ekspatriat Mesir, dalam mesyuarat itu.

    “Mereka menyebarkan keganasan dan ketakutan dalam kalangan rakyat Lubnan. Kami tidak sanggup kehilangan generasi lain kerana perang,” kata Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati.

    “Pencerobohan berterusan terhadap Lubnan didorong oleh kegagalan masyarakat antarabangsa, terutamanya UNSC, untuk menuntut Israel bertanggungjawab atas jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” kata Menteri Luar Iran, Seyyed Abbas Araghchi.

    Perancis kelmarin mendedahkan cada-ngan untuk gencatan senjata selama 21 hari di Lubnan dalam diplomasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan Amerika Syarikat, berikutan angka kematian yang meningkat dalam serangan oleh Israel. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda