Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Dengan harapan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap pemedulian dan menitikberatkan pendidikan para pelajar berkeperluan khas, Unit Pendidikan Khas (UPK) telah melancarkan logo ‘Anak adalah Anugerah’ dan poster kesedaran.
Pelancaran logo dan poster berkenaan telah berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall, Berakas, di mana majlis turut diselajurkan dengan pembukaan Jerayawara Pendidikan Khas yang julung-julung kalinya diadakan tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran logo dan poster serta pembukaan jerayawara berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang turut menyerahkan poster-poster berkenaan kepada penghulu-penghulu mukim dan pihak berkepentingan untuk dilekatkan di tempat-tempat sesuai.
Pemangku Ketua UPK, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor selaku pengerusi majlis dalam ucapannya telah menyatakan bahawa UPK sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan sikap orang ramai terhadap kanak-kanak berkeperluan khas dan salah satu daripadanya dengan mempromosikan moto dan logo baru berkenaan.
Beliau berkata, moto dan logo berkenaan diharap akan dapat menarik perhatian orang ramai terhadap pemedulian dan menitikberatkan pendidikan para pelajar berkeperluan khas di sekolah-sekolah dan juga di tempat-tempat awam.

Manakala itu, poster berkenaan yang akan dilekatkan di ruang-ruang awam seperti sekolah, masjid, bangunan membeli-belah dan banyak lagi merupakan sebagai satu rujukan mengenai cara-cara membantu anak-anak berkeperluan khas dan juga sebagai bahan maklumat.
Selain itu, jerayawara yang akan diadakan di sekolah-sekolah menengah di empat-empat daerah bermula bulan ini hingga Mei 2017 pula akan meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai peranan UPK, sistem pendidikan inklusif serta menonjolkan penglibatan dalam sama-sama mendokong keperluan dan bantuan pembelajaran.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan adanya jerayawara berkenaan akan memberikan peluang kepada pihak sekolah dan juga ibu bapa di setiap tadahan sekolah untuk mendapat maklumat lanjut mengenai pendidikan khas atau untuk mendapat bantuan serta bimbingan yang lebih berkesan agar pelajar berkeperluan khas dapat mencapai potensi maksima mereka.


Dalam pada itu, beliau juga telah mengumumkan bahawa pihak UPK akan mengadakan sesi konsultasi terbuka untuk para ibu bapa dan penjaga dan orang awam pada setiap Rabu dan Sabtu petang, manakala itu, di cawangan daerah-daerah, konsultasi terbuka akan diadakan setiap Sabtu petang.
Dengan ini, pihak UPK mengalu-alukan para ibu bapa dan penjaga untuk datang ke unit dan cawangan daerah jika ada sebarang pertanyaan mengenai anak-anak mereka.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil kepada seramai 49 orang pelajar yang baru menamatkan program pra vokasional selama lima tahun (2012-2016), yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Pehin juga telah menyampaikan sijil kepada 16 orang sukarelawan pembantu guru. Mereka ini baru sahaja menamatkan peperiksaan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dan ditempatkan di sekolah-sekolah rendah, di mana mereka ditugaskan untuk membantu pengurusan murid-murid pra yang berkeperluan khas berdasarkan arahan dan panduan yang diberikan pihak sekolah dan UPK.