Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uruguay raih tempat ketiga Copa America

    CHARLOTTE, 14 JULAI – Luis Suarez menyelamatkan Uruguay dengan gol penyamaan pada masa kecederaan sebelum pasukan dari Amerika Selatan itu mengalahkan Kanada 4-3 dalam penentuan penalti untuk memenangi perlawanan playoff tempat ketiga Copa America kelmarin.

    Uruguay seakan mencatat kekalahan mengejut selepas Kanada mendahului 2-1 pada minit ke-80 menerusi jaringan Jonathan David di Stadium Bank of America di Charlotte.

    Tetapi bekas bintang Barcelona dan Liverpool, Suarez, yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, menyambut kemas hantaran daripada Jose Gimenez pada minit kedua masa kecederaan untuk menjadikan kedudukan 2-2 dan mengheret permainan ke penentuan penalti.

    Dalam penentuan itu, pemain tengah Kanada, Ismael Kone menyaksikan sepakannya diselamatkan oleh penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet sebelum Alphonso Davies gagal dengan cubaan panenka yang terkena palang dan melantun keluar untuk memberikan kemenangan kepada Uruguay.

    Ia menandakan berakhirnya kejohanan yang mengecewakan untuk Kanada, yang telah berada di landasan untuk mencipta kemenangan hebat sebelum gol penyamaan lewat oleh Suarez.

    Uruguay memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila pemain tengah Tottenham, Rodrigo Bentancur menjaringkan gol pembukaan hanya selepas lapan minit.

    Pasukan Uruguay hampir menggandakan pendahuluan mereka tidak lama kemudian apabila serangan balas pantas membuatkan pertahanan Kanada kelam-kabut, tetapi rembatan Maximiliano Araujo berjaya disekat oleh penjaga gol Kanada Dayne St Clair.

    Kegagalan itu terbukti membawa padah apabila beberapa saat kemudian Kone menyamakan kedudukan untuk Kanada dengan penyudah yang cemerlang pada minit ke-22. – AFP

    Reaksi Suarez selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak tempat ketiga Copa America di Charlotte pada 13 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda