Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha anak muda tukar persepsi terhadap jenama tempatan

    KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sering kecewa dengan kualiti produk jenama tempatan, seorang anak muda mencabar diri untuk menghasilkan jenama jean yang setaraf dengan kualiti antarabangsa.

    Pengasas Tarik Jean, Afiq Iskandar Zainal Ariffin, 32, berkata walaupun terdapat banyak jenama jean keluaran tempatan, namun tidak banyak yang benar-benar memberi perhatian kepada kualiti dari segi reka bentuk kepada produk yang dikeluarkan.

    Bertitik tolak dengan percubaan menghasilkan jean untuk kegunaan sendiri dan memenuhi permintaan rakan-rakan terdekat, berbekalkan modal awal daripada bapanya pada 2009 beliau memulakan perniagaan menjual jean secara dalam talian.

    “Tetapi saya tidak mahu sekadar bergantung pada label ‘produk tempatan’…saya cuba meletakkan jenama ini pada standard tersendiri dengan memberi penekanan khusus kualiti serta kehendak pelanggan.

    “Dengan kualiti yang baik dan harga berpatutan, pengguna mempunyai pilihan sama ada jean keluaran antarabangsa atau tempatan kerana produk tempatan juga tidak kurang hebatnya,” katanya kepada Bernama.

    Afiq Iskandar (kanan) bersama tiga rakan kongsinya melihat koleksi kemeja T keluaran Tarik Jeans di pejabatnya di Petaling Jaya. – Bernama

    Mengakui bukan mudah untuk bertapak dan meyakinkan para pembeli untuk memilih label jenama persendirian, Afiq Iskandar yang juga gitaris kumpulan Oh Chentaku itu menyifatkan setiap rekaannya berjaya menyelesaikan masalah penggemar jean yang mahukan ukuran mengikut cita rasa pengguna Malaysia.

    “Kami cuba menyesuaikan rekaan dengan cuaca, potongan seluar itu mengikut cita rasa dan keselesaan pengguna yang mahu mengikut trend semasa iaitu memiliki skinny jeans atau sebarang rekaan trend luar negara.

    “Rekaan kami, sekali gus menyelesaikan masalah penggemar jeans di negara ini dan itu menjadi fokus dalam setiap rekaan,” katanya yang memiliki hampir 10 rekaan jean termasuk jenis Slim Ramlee dan Skinny Din.

    Menyentuh pemilihan jenamanya, Afiq Iskandar berkata identiti Malaysia yang diterapkan selari dengan idea Tarik Jean, iaitu untuk meraikan kepelbagaian budaya di negara ini, sesuai slogannya ‘Denim Untuk Rakyat’. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda