Wednesday, March 12, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha berterusan jadikan BKISHHB pusat warisan ilmu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Dalam usaha menjadikan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) sebagai pusat Warisan Ilmu Islam, beberapa usaha telah pun dilaksanakan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ulasannya berkenaan Rang Undang-Undang dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan Peringkat Jawatankuasa, pada hari kesembilan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) kelmarin bagi menjawab pertanyaan Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai perkara itu.

    Antara usaha-usaha yang dilaksanakan, jelas Yang Berhormat Menteri, ialah memberikan latihan khusus Digitasi Manuskrip dan bahan-bahan koleksi arkib BKISHHB kepada pegawai dan kakitangan yang mengendali koleksi manuskrip balai berkenaan agar mahir dalam melaksanakan tugas menghasilkan manuskrip secara digital.

    Katanya lagi, “ini adalah bagi tujuan pengimbasan bahan-bahan manuskrip dalam format digital, adalah bagi memastikan bahan-bahan kertas asal manuskrip dan mushaf sentiasa terjaga dan terpelihara terutamanya yang berumur ratusan tahun”.

    Selain itu, ia memudahkan akses kepada koleksi manuskrip oleh penyelidik melalui salinan digital tanpa menjejaskan bahan koleksi asal.

    Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan bahawa BKISHHB juga membukakan keahlian bagi penyelidik luar yang berminat untuk membuat penyelidikan terhadap koleksi manuskrip dalam simpanan Balai Khazanah yang mana setakat ini telah terdapat lima penyelidik luar sedang menjalankan kajian ke atas koleksi manuskrip balai berkenaan.

    Selain itu, BKISHHB juga telah mengadakan Bengkel dan Latihan Filologi pada tahun 2023 melalui kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan melibatkan tenaga akademik dari UBD yang mempunyai kepakaran dalam bidang filologi dan berpengalaman dalam penyelidikan manuskrip selaku fasilitator.

    Bengkel dan Latihan tersebut adalah untuk memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta mengenai kaedah kajian secara terperinci terhadap naskhah sastera lama untuk menemui keasliannya, bentuk asalnya dan makna kandungannya.

    “Ia juga bertujuan untuk menarik minat para pengkaji khususnya daripada kalangan generasi muda untuk menjalankan penyelidikan manuskrip,” jelasnya lagi.

    Selain bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam penganjuran seminar, bengkel, simposium, dan persidangan, BKISHHB juga sedang dalam usaha melaksanakan kerjasama dengan Universiti Malaya melalui kajian saintifik dan penerbitan koleksi tanaman herba di Taman Herba, BKISHHB.

    Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan peluang kepada graduan-graduan tempatan untuk terlibat dalam aktiviti penyelidikan tersebut apabila BKISHHB sedang meluaskan rangkaian kerjasama dengan IPTA tempatan.

    “Semasa mengikuti pengajian di IPTA masing-masing, para pelajar yang berminat akan diberikan peluang untuk menerima pendedahan dan menimba pengalaman dalam bidang kajian yang bersesuaian dan berkaitan dengan bahan koleksi BKISHHB”.

    BKISHHB juga merancang mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) khususnya penyelidikan manuskrip dalam bidang pengajian Arab dan tamadun Islam.

    Lebih-lebih lagi kerjasama dengan UNISSA yang baharu saja menubuhkan sebuah pusat yang berperanan memelihara, melestari dan mengkaji manuskrip yang dikenali sebagai Pusat Kajian Manuskrip Islam, jelasnya, yang mana pusat ini akan mula menawarkan program pengajian Master in Islamic Manuscript (by Research) dan PhD in Islamic Manuscript (by Research) mulai tahun ini.

    Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan rancangan untuk menjadikan BKISHHB sebagai sebuah pusat warisan ilmu di rantau ini melalui penganjuran Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam buat kali pertama pada Jun nanti dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – GAMBAR FAIL KHAYR ZAKARIYYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda