ALEPPO – Kelihatan seorang lelaki sedang sibuk membersihkan serpihan-serpihan kerosakan akibat kesan pergolakan di negara itu. Lelaki itu berusaha untuk membangunkan semula tinggalan bangunan yang terjejas teruk oleh isu pergolakan di Syria. Pemilik kedai itu telah kembali di bandar raya itu untuk pertama kali untuk membersihkan farmasi milik mereka setelah ditinggalkan untuk beberapa tahun. Pemilik kedai ini berusaha untuk mengembalikan semula rutin harian mereka di bandar tersebut dan menjalani kehidupan seperti biasa. “Saya merasa sangat gembira melihat kedai saya masih lagi berdiri walaupun mengalami banyak kerosakan namun saya masih tetap gembira,” kata Antoun Baqqal yang berusia 66 tahun kepada wartawan AFP.
Aleppo sebelum ini terkenal sebagai sebuah bandar raya yang kaya khazanah tembok-tembok sejarah namun semua itu telah musnah malah tidak dikenali lagi disebabkan pergolakan yang berlaku di Syria selepas enam tahun. Selepas beberapa tahun dalam medan pergolakan, kebanyakan bandar-bandar terkenal di Syria musnah malah tidak dikenali lagi.
Namun salah sebuah kedai yang dikenali sebagai Khayr Beyk telah selamat walaupun beberapa buah tingkat di dalamnya musnah dan mengalami kerosakan. Kebanyakan bangunan-bangunan ini masih gah berdiri dan terletak di kawasan yang dipanggil sebagai Khan serta kawasan ini telah menyaksikan beberapa pergolakan dan perkelahian di kawasan itu. “Saya telah menghantar beberapa keping gambar kepada rakan-rakan saya akan keadaan kedai-kedai mereka untuk mempengaruhi mereka supaya pulang semula ke kawasan itu dan saya akan tetap berusaha untuk memastikan mereka kembali semula ke kedai-kedai mereka dan sama-sama membangun,” kata Baqqal lagi kepada wartawan AFP.
Para pemberontak telah berjaya menawan bandar raya Aleppo pada musim panas tahun 2012 dan telah membahagikan bandar raya itu kepada beberapa bahagian. “Para tentera sebenarnya ada di sini dan mereka sering kali tidur di tingkat atas kedai saya,” tambah Baqqal lagi kepada wartawan. Namun setelah pihak rejim kerajaan Syria berjaya menakluki bandar raya ini sepenuhnya pada bulan Disember tahun lalu, Baqqal telah kembali semula ke kedai beliau yang telah diturunkan kepadanya daripada ayahnya.


“Apabila saya mendapati gambar ayah saya di atas lantai, saya mengambil dan membersihkannya lalu saya letakkan kembali di dinding yang sudah kotor. Kini saya sudah bersedia untuk membersihkan dan mengembalikan keceriaan di kedai ini serta memajukannya kembali. Saya telah mengajar dan mendidik anak lelaki saya, oleh itu pada satu hari nanti, dia akan meletakkan gambar saya di sebelah gambar ayah saya di dinding,” tambah Baqqal lagi kepada wartawan AFP.
Kediaman keluarga
Dalam sebuah kawasan lapang, Zakaria Aziza yang berusia 55 tahun sedang memeriksa telefon bimbitnya dan melihat beberapa keping gambar di kawasan Khan tersebut dan membandingkan kawasan itu sebelum dan selepas pergolakan yang berlaku di kawasan itu. Menurut Zakaria, kawasan itu dahulu memang penuh dengan kedai-kedai yang menjual pelbagai makanan dan barangan serta apa yang menarik, kawasan ini turut terkenal dengan jualan pelbagai jenis dan corak kain. “Lazimnya, kawasan ini akan dipenuhi dengan para pelanggan dan melihat-lihat barangan yang dijual namun pada hari ini, ia dipenuhi dengan sampah dan tompokan batu-bata,” tambah Zakaria lagi kepada wartawan AFP.

Namun apa yang menarik, sebuah taman yang berdekatan dengan kawasan itu memperlihatkan pohon Mulberry dan buah Lemon yang terselamat daripada pergolakan itu berlaku dan masih gah berdiri walaupun mengalami keadaan sekeliling yang suram dan menyedihkan. Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang membantu ayah mereka menarik dan mengangkat beg-beg hitam yang berisi dengan batu-bata dan membersihkan persekitaran kedai mereka. “Usaha kami ini mungkin akan berlanjutan sehingga satu tahun untuk diproses,” kata Zakaria lagi kepada wartawan.
Sambil menarik nafas dan duduk di kerusi sofa berwarna merah, Zakaria berehat sekejap setelah seharian membersihkan persekitaran kedai beliau. Anak buah beliau yang berusia 35 tahun, Mazen berkata bahawa persekitaran Khan ini merupakan kawasan di mana dia sering berjalan-jalan dan bermain ketika kecil. “Ia seperti berada di rumah kembali dan saya benar-benar gembira kerana dapat kembali ke sini setelah beberapa tahun ditinggalkan,” kata Mazen kepada wartawan AFP sambil membersihkan sampah-sampah di kawasan kedai milik ayah saudaranya.
Bergelut dengan persekitaran yang penuh dengan debu-debu asap membuatkan beberapa dinding bangunan menjadi gelap dan kotor yang mana sebelum ini berwarna putih dan kelabu. Sinaran matahari turut memperlihatkan beberapa lubang yang terdapat di atap-atap bangunan membuatkan ia terus bersinar memasuki setiap ruang di bawahnya.
Manakala di sebuah farmasi kedai, Mohammed Nour Mimi yang berusia 66 tahun sedang memeriksa keadaan kedai beliau dan menemui beberapa peralatan muzik miliknya yang masih berfungsi dengan baik namun dipenuhi dengan habuk dan kotoran debu. Setelah beberapa tahun, beliau sering menyimpan dan memegang kunci kedai beliau dan berharap satu hari nanti akan kembali semula di Aleppo dan hari ini, beliau telah kembali semula di Aleepo dan cuba membina hidup baru. “Para pedagang akan kembali semula ke sini dan sama-sama meminum kopi serta berkongsi-kongsi cerita sama ada kedai dibuka atau pun tidak, kami akan sama-sama duduk dan merakam pelbagai cerita,” kata Mohammed Nour Mimi mengakhiri temu ramah bersama wartawan. – AFP