Thursday, September 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha reformasi dadah perlu pendekatan holistik

    KUALA LUMPUR – Pintu kayu bergegar dek ketukan yang kuat dan berlaku dengan tiba-tiba pada lewat tengah hari Ogos 2020.

    “Polis! Buka pintu!”

    Wak Ang (bukan nama sebenar) tidak langsung berasa gentar dengan suara di luar pintu.

    Pantas daun pintu dibuka. Dia masih bersedih dengan kematian ibunya baru-baru ini.

    Ayahnya meninggal dunia pada tahun 2011. Pada usia 53 tahun, hidupnya tidak menentu meskipun dia kini mempunyai banyak masa terluang selepas bertahun-tahun menjaga orang tuanya.

    Polis berjaya merampas dua pucuk pistol dan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM148,000 di Taman Lam Foong, pada 16 Julai lalu. – Bernama
    Gambar fail pengguna dadah yang ditangkap AADK dibawa menghadap majistret. – Bernama
    Gambar fail pengguna dadah yang sedang menjalankan rehabilitasi mandatori di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). – Bernama

    Dia melihat ada anggota polis tercegat di depan muka pintu, hari semakin gelap. Mereka mahu tahu di mana dadah disorok.

    Di bawah pendaftaran Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969, Wak Ang disenaraikan sebagai penagih dadah sejak tahun 1994, apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pertama kali menahan dan menghantar dia ke pusat pemulihan.

    Tindakan itu diambil di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

    Meskipun dia bertegas dia tidak menyembunyikan sebarang dadah, polis mendakwa dia adalah pengedar dadah dan menyelongkar rumah yang didiaminya di Ipoh itu.

    Setelah tidak menemui sebarang dadah, dia dibawa ke balai polis. Dia diberi sebuah bekas dan diarah ke tandas.

    Beberapa minit kemudian, dia ditahan. Dia positif heroin, air kencingnya menjadikan jalur ujian bertukar merah. Itu bermakna dia akan dipenjara di bawah Seksyen 5 Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Meskipun Wak Ang tidak memiliki sebarang dadah ketika ditahan, dia masih melakukan jenayah kerana menyuntik dirinya dengan heroin, dadah Jadual 1, senarai narkotik paling serius.

    Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di penjara di Tapah dan semasa dalam tahanan, dia berjaya membebaskan dirinya daripada dadah.

    Setiap kali ditahan, dia pasti berusaha membuang tabiat ketagihan dadah. Setakat ini, dia beritahu Bernama, 13 kali sudah dia bebas dadah sejak mula terjebak dengan penagihan dadah pada tahun 1987. Cuma sebaik sahaja keluar dari penjara, dia kembali menagih dadah.

    TINDAK BALAS PINDAAN

    Malaysia mengesahkan hasrat untuk mendekriminalisasi dadah pada 8 Mac 2023, apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat, memiliki dadah jenis berat yang tertakluk di bawah AADK, tidak akan dianggap sebagai jenayah. Ketagihan dadah akan dianggap sebagai satu penyakit.

    Di bawah dekriminalisasi, undang-undang dan dasar seharusnya beralih daripada berorientasikan hukuman dan menjurus kepada mengurangkan kemudaratan serta merawat ketagihan sebagai satu isu kesihatan awam. Dalam berbuat demikian, Malaysia akan muncul sebagai salah sebuah negara yang sudah banyak melaksanakan dasar itu, seperti Portugal.

    “Pindaan semasa tidak seiring dengan matlamat dekriminalisasi yang tulen dan mungkin memburukkan cabaran yang sedia ada. Kerajaan perlu menerima pakai semakan yang komprehensif ke atas dasar dadah negara seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 dan Akta Racun 1952,” kata sekumpulan 15 pakar penandatangan, diketuai Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, dalam satu kenyataan.

    Negara-negara yang menerima pakai dasar dekriminalisasi dadah berjaya mengurangkan kesesakan di dalam penjara, mengurangkan kadar jangkitan HIV dalam kalangan pengguna IV, dan angka penggunaan dadah dilaporkan kekal stabil tanpa lonjakan besar.

    Pemulihan pula adalah secara sukarela.

    Pada masa ini, penjara Malaysia dilaporkan mengalami kesesakan. Menurut data Kementerian Dalam Negeri, setakat Mac 2023, Malaysia mempunyai 39 buah penjara dengan gabungan penghuni seramai 74,459 orang. Kapasiti penjara-penjara itu adalah 65,000 penghuni. Pada 3 Julai 2024, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melaporkan, terdapat 6,450 orang di dalam penjara atas kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya, termasuk mereka yang direman.

    Daripada menghantar pengguna dadah atau mereka yang memiliki jumlah dadah yang kecil ke penjara, sebaliknya mereka akan dibawa ke hadapan majistret dan menghadiri sesi pemulihan mandatori. Sekiranya ditangkap menggunakan dadah semasa pemulihan, pesalah mungkin berdepan dengan hukuman penjara dan sebat.

    Salah satu pindaan juga menjadikan ibu bapa bertanggungjawab ke atas pemulihan anak-anak di bawah umur, yang mengguna dadah atau berdepan dengan denda sehingga RM5,000.

    Kumpulan itu turut melahirkan ‘kekhuatiran’ pindaan berkenaan akan memberikan lebih kuasa kepada pegawai-pegawai AADK dan bukan pegawai perubatan, dalam menentukan sama ada pengguna adalah penagih, atau pilihan rawatan. Majistret akan dikehendaki mengambil kira cadangan pegawai pemulihan apabila memutuskan nasib pengguna atau penagih dadah.

    PINDAAN SECARA HOLISTIK

    Ketagihan didefinisikan sebagai ‘gangguan kronik yang berulang, dengan sentiasa mencari dadah, di sebalik mengetahui akan kesan buruknya,’ demikian menurut Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan di Amerika Syarikat.

    Para pakar menyifatkannya sebagai gangguan otak kerana ia melibatkan perubahan kepada litar otak yang melibatkan ganjaran, stres dan kawalan diri.

    Pengguna dadah Abdul Rahim, 49, tahu sangat akan situasi itu. Dia sudah tujuh kali masuk penjara dan disebat tiga kali.

    Ditanya sama ada dia lebih suka mengikuti program pemulihan yang dijadikan mandatori oleh pihak mahkamah sekiranya pindaan diluluskan, Abdul Rahim berkata jika diberi pilihan, dia lebih suka tinggal di rumah dan terus bekerja.

    Para pakar menyifatkan perkara itu sebagai pengurangan kemudaratan, yang merupakan komponen penting dekriminalisasi dadah.

    Daripada memfokuskan kepada sifar toleransi dan menghentikan penggunaan, pengguna dan penagih terus diberi sokongan untuk meneruskan kehidupan mereka dan menjadi anggota masyarakat yang produktif.

    Sekiranya mereka mahu berhenti menggunakan dadah, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan untuk membuang tabiat buruk mereka itu atau sekurang-kurangnya dapat menguruskannya.

    Dasar dekriminalisasi dadah yang betul akan membenarkan pemilikan jumlah kecil dadah dan ujian positif dadah, yang mana kedua-duanya tidak akan menjadi kesalahan jenayah.

    Pakar-pakar ketagihan dan reformasi dadah mengharapkan polis dan pegawai penguat kuasa merujukkan pengguna dadah kepada pusat pemulihan secara sukarela, dan bukan menghantar mereka ke penjara yang berhampiran.

    Untuk melaksanakan langkah demikian, dua undang-undang utama dadah iaitu Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang melibatkan penggunaan dan pengambilan sendiri dadah.

    MASA DEPAN BEBAS DADAH

    Bagi Wak Ang, tidak ada Clean Slate bill, meskipun ia mungkin dapat menukar segala keperitan dalam kehidupannya.

    Selepas pertama kali ditangkap, dia bulat hati mahu menjauhi dadah. Dia berjaya melakukannya.

    Selepas enam tahun ‘bersih’, dia berkahwin pada tahun 2001. Dia dapat pekerjaan yang baik, kehidupannya juga tenang, namun retak mula kelihatan. Isterinya banyak mengungkit kisah silamnya sebagai penagih dadah juga kisah dia ditangkap, untuk melukakan hatinya.

    Akhirnya, pada tahun 2007, dia tewas kepada dadah. Dia berasa amat kesal dengan apa yang dilakukannya itu dan sepatutnya dia lebih kuat untuk terus menjauhi dadah.

    Kini dalam usia 57 tahun, dia berasa begitu lelah dengan kehidupannya, ditambah langsung tidak berwang. Habis wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) digunakan untuk membeli dadah. Dia sekarang menumpang hidup di rumah adiknya dan menjadi penjaga anak saudaranya, seorang anak istimewa.

    Setahun sudah dia berjaya menjauhi dadah, dan bertekad tidak akan lagi mengambil heroin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda