Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha Sabah pulihara spesies endemik Kalibambang Emas

    KOTA KINABALU, 22 DIS – Pewartaan kupu-kupu Kinabalu Birdwing atau dikenali Kalibambang Emas sebagai kupu-kupu rasmi negeri Sabah pada 13 September tahun lalu merupakan inisiatif negeri Sabah dalam usaha meningkatkan lagi pemuliharaan spesies kupu-kupu berkenaan termasuk spesies yang lain.

    Kupu-kupu Kinabalu Birdwing atau nama saintifiknya Troides Andromache dipilih kerana spesies itu merupakan spesies endemik yang hanya boleh ditemui di Sabah dan Sarawak, serta hanya wujud pada paras pada ketinggian antara 1,000 hingga 2,000 kaki dari paras laut.

    Pusat Biodiversiti Sabah dalam kenyataan media kepada Bernama, Jawatankuasa Pewartaan telah menyenaraikan beberapa cadangan nama tempatan dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 September itu telah bersetuju memilih nama rasmi tempatan bagi kupu-kupu itu sebagai Kalibambang Emas.

    Nama kupu-kupu itu diambil berasal daripada perkataan suku kaum Sungai, yang bermaksud kupu-kupu bersaiz besar, berwarna kuning seperti emas, terang dan indah.

    “Ciri-ciri kupu-kupu Kinabalu Birdwing mempunyai sayap dengan lebar antara 60 hingga 70 milimeter iaitu saiz sayap kupu-kupu jantan dua kali ganda lebih kecil daripada saiz kupu-kupu betina, hanya boleh dijumpai di sekitar kawasan Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker.

    Gambar Bernama

    “Terbaharu turut ditemui di Sipitang berdekatan dengan Merapok malah disifatkan sebagai sangat jarang ditemui selain susah untuk ditangkap,” menurut kenyataan itu.

    Spesies kupu-kupu itu telah disenaraikan sebagai vulnerable di bawah International Union for the Conservation of Nature’s (IUCN) Red List dan disenaraikan sebagai haiwan terlindung di bawah Bahagian I Jadual 2 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

    Berkuat kuasa pada 1 September 2023, spesies kupu-kupu ini juga telah disenaraikan di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah (Pindaan) 2023, sebagai Sumber Biologi yang Dilindungi (Jadual di bawah Seksyen 14B).

    Kenyataan itu juga memaklumkan segala program yang melibatkan pemuliharaan termasuk memperkenalkan kupu-kupu itu kepada umum akan dilaksanakan oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama jabatan serta agensi yang berkaitan.

    Tempoh setahun telah diambil sebelum menjadikan kupu-kupu itu sebagai kupu-kupu rasmi negeri Sabah dan usaha itu turut melibatkan pelbagai pihak antaranya termasuk Mendiang Dr Stephen Sutton yang mengendalikan Kinabalu Birdwing Project di bawah Rotary Club of Kota Kinabalu.

    Stephen, 85, meninggal dunia pada 31 Dis 2023, merupakan pakar entomologi dan penyelidik kupu-kupu yang berwibawa dan melalui inisiatif Kelab Rotary Kota Kinabalu, mendiang telah memulakan projek penyelidikan kupu-kupu dan rama-rama sejak 2019 di Sabah.

    Walau bagaimanapun, penglibatan mendiang dalam aktiviti, penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti Sabah telah bermula sejak tahun 1990an.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda