Wednesday, November 27, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usahawan kopi Vietnam cabar tradisi keluarga

    HANOI – Meninggalkan kerjaya yang bergaji lumayan dalam bidang kewangan, Vu Dinh Tu nekad membuka kedai kopi tanpa pengetahuan ibu bapanya.

    Dia kini antara generasi muda Vietnam yang membuka sebuah kafe untuk mencabar harapan keluarga mengenai kerjaya.

    Secara tradisinya dihidangkan sebagai kopi pekat, kadang kala campur susu pekat dan malahan telur, sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya Vietnam.

    Namun, memulakan perniagaan kafe bukanlah pilihan utama bagi kebanyakan ibu bapa kelas pertengahan untuk anak-anak mereka.

    “Pada mulanya, keluarga saya tidak tahu mengenainya,” kata Tu, 32 tahun. “Akhirnya mereka tahu, dan tidak begitu menyokong,” ujarnya.

    Vu Dinh Tu ketika membuat kopi di sebuah kafe di Hanoi, Vietnam. – AFP
    Vu Dinh Tu ketika membuat kopi di kafe miliknya di Hanoi, Vietnam. – AFP
    Gambar AFP

    Ibu bapanya berkali-kali memujuk agar dia terus bekerja di sektor perbankan dalam bidang pelaburan yang membayar gaji lumayan, namun Tu berkeras dengan impiannya.

    Dia kini berjaya membuka empat cawangan Refined di Hanoi dalam tempoh empat tahun.

    Cawangannya dipenuhi pelanggan dari pagi hingga malam, menikmati biji kopi robusta Vietnam dalam suasana yang lebih eksklusif, hampir menyerupai bar koktel.

    Ibu bapanya “melihat betapa sukarnya mengendalikan perniagaan — dari pengurusan kewangan hingga pekerja, dan mereka tidak mahu saya terbeban,” kata Tu.

    Vietnam, yang pernah miskin hingga awal 2000an, bangkit dengan industri pembuatan, namun ramai ibu bapa masih mahu anak-anak mereka memilih kerjaya yang stabil dan menguntungkan seperti perubatan dan undang-undang.

    Sebaliknya, kopi kini menjadi simbol kreativiti dan ekspresi diri.

    SEPERTI ‘ARTIS’

    Di Vietnam, kafe bukan sekadar tempat minum kopi. Ia kini menjadi tempat berkumpul golongan muda yang mahu lari daripada tekanan keluarga untuk berjaya dalam akademik, mendapat ijazah dan kerjaya stabil, menurut Profesor Madya dari California State University, Sarah Grant.

    “Ia juga menjadi ruang untuk komuniti kreatif, seperti pereka grafik dan pemuzik, untuk berkumpul dan berkongsi idea,” katanya.

    Kopi pertama kali diperkenalkan di Vietnam pada 1850an semasa penjajahan Perancis.

    Pada tahun 1990an, perubahan kepada pengeluaran besar-besaran biji robusta menjadikan Vietnam kuasa besar dalam pasaran kopi dunia dan pengeksport kedua terbesar dunia.

    Semangat untuk perniagaan kopi sering dikaitkan dengan sejarah tersebut.

    Usahawan kopi seperti Tu berbangga kerana Vietnam menjadi pengeluar kopi terkemuka dunia.

    Di sebuah lorong kecil di tengah ibu kota Hanoi, Nguyen Thi Hue, 29 tahun, membuka kedai kopi kecilnya yang berkonsepkan Slow Bar.

    “Bila membuat kopi, ia seperti menjadi seorang artis,” katanya, mengimbau kenangan pertama kali merasai kopi yang disediakan oleh jirannya.

    Kopi juga kini menjadi trend, dengan perniagaan kafe yang dapat menarik pelanggan generasi muda boleh menjana keuntungan lumayan.

    “Tiada siapa yang datang ke kafe berpakaian selekeh,” kata Hue, yang tampil bergaya dengan cermin mata biru dan aksesori sepadan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda