Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan mengenai tambahan Vaksin Konjugat Pneumokokal (PCV) dalam Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, yang bermula pada 1 Februari.
Tambahan itu merupakan salah satu komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melindungi anak damit dan kanak-kanak daripada penyakit pneumokokal.
Dengan penambahan vaksin berkenaan, kini terdapat 12 jenis produk vaksin dalam Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan untuk mencegah 12 penyakit yang dapat dicegah melalui vaksin.
Pengenalan PCV dalam Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak.
Ia menekankan komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin serta menyokong visi negara untuk masa depan yang lebih sihat.
PCV merupakan vaksin yang boleh melindungi daripada jangkitan bakteria Streptococcus Pneumoniae. Jangkitan pneumokokus merupakan salah satu penyebab utama kepada penyakit serius seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), keradangan otak (meningitis) dan jangkitan dalam aliran darah (septicaemia), terutamanya dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun.
Vaksinasi di bawah Program Perluasan Imunisasi Kebangsaan akan diberikan secara percuma kepada semua anak damit dan kanak-kanak yang yang menetap di negara ini di semua Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di bawah Kementerian Kesihatan.
Vaksin itu akan diberikan mengikut jadual tiga dos iaitu pada usia dua bulan, empat bulan dan 12 bulan sebagai sebahagian daripada jadual imunisasi rutin.
Program imunisasi susulan (catch-up) bagi PCV juga akan dilaksanakan mulai Februari 2025, khusus untuk anak damit dan kanak-kanak yang lahir dari Februari 2023 hingga Januari 2025.
Ibu bapa anak damit dan kanak-kanak daripada kumpulan kelahiran berkenaan akan dihubungi oleh Klinik Kesihatan Ibu dan Anak masing-masing untuk mendapatkan vaksinasi PCV bagi anak mereka.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan perhubungan lanjut, boleh menghubungi Kementerian Kesihatan di talian 2380485, e-mel, corp.comms@moh.gov.bn atau Talian Darussalam 123.