STOCKHOLM, 16 DIS – Agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU), Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran vaksinasi saja tidak akan menghentikan penularan varian Omicron, sebaliknya tindakan kuat diperlukan segera.
Pengarah ECDC, Andrea Ammon berkata dalam keadaan semasa, vaksinasi saja tidak dapat menghalang kesan varian Omicron kerana masih ada lagi mereka yang belum divaksinasi.
Katanya, tindakan tegas dengan segera perlu diambil untuk mengurangkan penularan dan meringankan beban pada sistem penjagaan kesihatan serta melindungi golongan rentan.
“Terdapat tanda-tanda bahawa penularan komuniti sudah berlaku di negara EU dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) dan menunjukkan penularan pantas Omicron sedang berlaku,” katanya.
Agensi itu turut meningkatkan penilaian risiko Omicron terhadap kesihatan awam daripada ‘tinggi kepada sangat tinggi’ dan menggesa pemakaian pelitup muka, kebersihan tangan, penjarakan dan pencegahan orang ramai di ruang awam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides berkata laporan daripada ECDC menunjukkan bahawa bulan-bulan akan datang menjadi lebih sukar.
“Omicron mungkin akan datang dalam gelombang besar, membawa tekanan baharu pada sistem penjagaan kesihatan dan dos penggalak harus diberikan untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata varian Omicron dilaporkan telah merebak di 77 negara dan mungkin telah merebak ke kebanyakan negara tanpa dikesan pada kadar yang tidak pernah kita dilihat dengan mana-mana varian sebelum ini. – AFP