Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Verstappen bangkit tawan GP Brazil

    SAO PAULO, 4 NOV – Max Verstappen digambarkan sebagai ‘gila’ selepas mempamerkan salah satu pemanduan terbaik dalam cuaca hujan untuk memenangi Grand Prix Brazil kelmarin sekali gus menghampiri kejuaraan dunia Formula Satu keempat berturut-turut.

    Maestro Red Bull itu memenangi perlumbaan yang kelam-kabut dan dalam keadaan hujan di Interlagos dari tempat ke-17 di grid.

    Dengan pesaing kejuaraannya, Lando Norris yang bermula dari petak pertama tetapi berakhir di tempat keenam, Verstappen kini mempunyai kelebihan 62 mata di hadapan pemandu Britain itu dengan hanya berbaki tiga perlumbaan.

    Dia berpeluang mengesahkan kejuaraan di Las Vegas dalam masa tiga minggu.

    “Saya berasa tidak menentu, seperti berada dalam roller-coaster,” katanya kepada pemberita selepas kemenangan ke-62 dalam kariernya.

    Verstappen meraikan kemenangan di podium dengan trofi Grand Prix Formula Satu Sao Paulo, di litar lumba Jose Carlos Pace di Sao Paulo, Brazil pada 3 November. – AFP

    “Emosi saya berubah dari ingin menghancurkan garaj selepas sesi kelayakan selepas memenangi perlumbaan.

    “Sungguh luar biasa untuk menang dari kedudukan yang begitu jauh di belakang di grid setelah menjangkakan akan kehilangan mata dalam kejuaraan. Banyak yang dipertaruhkan, dan saya perlu mengambil kira kejuaraan juga. Jadi, bagi saya ini adalah yang terbaik.

    “Hujan turun dan kami terus berada di luar, yang agak berisiko, dan saya hanya perlu memastikan kereta tetap berada di litar. Keadaannya memang sukar dikawal, ia seolah-olah memandu bot atau jet ski jadi ia sangat istimewa hari ini,” ujarnya.

    Verstappen tidak pernah memenangi Grand Prix dalam 10 perlawanan sejak Grand Prix Sepanyol pada Mei.

    “Saya hanya mahukan perlumbaan yang bersih sekarang,” tambahnya. “Saya tidak memikirkan tentang gelaran atau merangkulnya di Vegas.” – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda