Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Verstappen juara Grand Prix Australia

    AUSTRALIA, 2 APRIL – Pelumba Red Bull, Max Verstappen menjuarai Grand Prix Australia pertamanya hari ini dalam keadaan yang luar biasa selepas perlumbaan F1 yang huru-hara dipenuhi dengan drama.

    Walaupun kemenangan pertama Red Bull di Melbourne sejak 2011 ini adalah dijangka, ia juga merupakan sebuah kemenangan yang sukar untuk diraih.

    Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton, yang memandu dengan hebat dalam Mercedesnya, menduduki tempat kedua, manakala Fernando Alonso dari Aston Martin menghuni tempat ketiga di podium.

    Hanya 12 daripada 20 pelumba menamatkan perlumbaan, dengan Oscar Piastri dari Australia menduduki tempat kelapan dan menuntut mata kejuaraan pertamanya untuk McLaren.

    Verstappen begitu gembira untuk meraih kemenangan tetapi mempersoalkan keputusan steward untuk mengeluarkan bendera merah selepas kemalangan dalam pusingan ke-55 perlumbaan 58 pusingan dan bukannya menggunakan kereta keselamatan.

    Dia mendahului dengan selesa pada peringkat itu tetapi kemudian terpaksa berjuang untuk menguasai kedudukan hadapan daripada Hamilton apabila perlumbaan dimulakan semula.

    Hamilton gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan Mercedes di Melbourne, termasuk persembahan kelayakan kompetitif kelmarin.

    “Ia sangat tidak dijangka,” katanya. “Mendapat kedua dan ketiga dalam kelayakan semalam mengejutkan kami semua dan memberikan rangsangan tenaga yang besar di seluruh pasukan.”

    Perlumbaan disambung semula dengan Verstappen mengintai Hamilton di hadapan litar dan juara dunia dua kali itu menggunakan kelajuan unggul Red Bull untuk mendahului Pusingan 12. – AP

    Lewis Hamilton dari Britain (kiri), Max Verstappen (kedua kiri) dan pemandu Aston Martin, Fernando Alonso (kanan) berdiri di atas podium selepas Grand Prix Formula Satu Australia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda