HANOI, 17 DIS – Pusat Kawalan Penyakit Hanoi telah memperketatkan pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai susulan penularan wabak penyakit misteri di Congo, lapor agensi berita Vietnam, VNA.
Langkah itu bertujuan untuk mengesan lebih awal sebarang jangkitan atau kes yang disyaki bagi membolehkan tindakan kawalan dan respons yang sewajarnya diambil dengan segera.
Sebelum ini, pada 12 Disember, Jabatan Perubatan Pencegahan di bawah Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan notis kecemasan berkaitan kes penyakit tidak dikenali di Republik Demokratik Congo (DRC), yang dikesan menerusi sistem pemantauan penyakit berjangkit pada 10 Disember.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dari 24 Oktober hingga 5 Disember 2024, zon kesihatan Panzi di wilayah Kwango, DRC, melaporkan 416 kes penyakit misteri, dengan 31 kematian, menjadikan kadar kematian sebanyak 7.6 peratus.
Gejala penyakit tersebut termasuk demam, sakit kepala, batuk, hidung berair dan sakit otot. Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak (53 peratus daripada kes dan 54.8 peratus kematian adalah kanak-kanak di bawah usia 5 tahun). Semua kes yang teruk didapati mengalami kekurangan zat makanan yang kritikal.
Beberapa negara di Asia dan Asia Tenggara menilai risiko penularan penyakit itu dari DRC adalah rendah, berikutan jumlah pengembara yang amat kecil dari rantau tersebut dan tiada penerbangan terus dari DRC.
WHO telah memberikan sokongan kepada DRC dalam menggerakkan pasukan respons pantas, menguruskan kes, mengambil sampel untuk ujian patogen dan melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan di kawasan penularan. Sehingga 10 Disember, maklumat terkini daripada WHO menunjukkan 10 daripada 12 sampel ujian awal positif malaria.
Jabatan Perubatan Pencegahan Vietnam kini mengikuti perkembangan wabak di DRC dengan rapat. – ANN/VNA