Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Korea Selatan ditanam dalam simen ditemui selepas 16 tahun

    SEOUL, 24 SEPT – Seorang lelaki Korea Selatan telah ditahan selepas mengaku membunuh teman wanitanya 16 tahun lalu dan menanam mayatnya di balkoni di bawah lapisan simen, kata polis kepada AFP hari ini.

    Lelaki itu, yang kini berusia 50an, didakwa membunuh wanita tersebut pada Oktober 2008 semasa pertengkaran, menurut Polis Wilayah Gyeongnam dan Balai Polis Geoje.

    Dia memukul wanita itu sehingga mati dengan objek tumpul dan kemudian memasukkan mayatnya ke dalam bagasi besar, kata polis.

    Dia kemudian menyembunyikan mayat itu di balkoni dengan menyusun batu bata dan menuang lapisan simen setebal 10 sentimeter.

    Wanita itu tidak dilaporkan hilang sehingga tiga tahun kemudian, kerana dia tidak berhubung dengan keluarganya sendiri.

    Gambar ANN The Korea Herald

    Semasa siasatan orang hilang pada tahun 2011, lelaki itu memberitahu polis bahawa mereka telah ‘berpisah’ dan kes itu masih tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan bukti.

    Seorang pegawai polis memberitahu pemberita bahawa mayat itu tidak ditemui sebelum ini kerana ia telah ditanam di ruang balkoni kecil, dan bilik itu ‘hampir kosong sejak 2016’.

    Pada tahun itu, suspek telah ditangkap atas kesalahan penggunaan dadah, dan tuan rumah berkata premis itu digunakan sebagai ruang penyimpanan.

    Mayat itu ditemui bulan lalu selepas seorang pekerja yang sedang mencari punca kebocoran air menemui bagasi tersebut.

    Selepas diperiksa, polis mendapati keadaan mayat wanita itu ‘agak terpelihara’.

    “Mayat itu belum sepenuhnya reput menjadi tulang, membolehkan kami mengenal pasti identitinya menggunakan cap jari,” kata polis. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda