Thursday, January 2, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita main peranan dalam pembangunan masyarakat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Sebagai ibu dan isteri, wanita memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga yang bahagia dan harmoni serta mendidik ge-nerasi akan datang.

    Selain itu, wanita juga memberi impak besar dalam pembangunan masyarakat melalui kerjaya dan tindakan positif serta memberi sumbangan kepada ummah dengan keikhlasan dan keberanian.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Nurhuwaina binti Mamud semasa menyampaikan tazkirah bertajuk Mencapai Kejayaan Wanita di Tahun Baharu: Menjadi Inspirasi dalam Keluarga dan Masyarakat semasa Program Munajat secara maya anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-166 dan Khas untuk Wanita ke-20, kelmarin.

    Acara turut mengundang tetamu khas iaitu Pengerusi Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, yang seterusnya memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Rumah PEKERTI.

    Kemudiannya, acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh ahli PEKERTI, Dayang Norliza binti Abdul Jalil, dan seterusnya bacaan Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Datin Hajah Umiyati binti Haji Mohd Noor, dari Masjid Ash-Shaliheen.

    Antara yang menyertai dalam Program Munajat secara maya itu anjuran KHEU kali ke-166 dan Khas untuk Wanita ke-20, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Seorang peniaga wanita sibuk melayani pelanggan. Dalam tazkirah Program Malam Munajat Khas untuk Wanita menekankan bahawa wanita juga memberi impak besar dalam pembangunan masyarakat melalui kerjaya dan tindakan positif. – GAMBAR OLEH ALISHAHRIN BIN HAJI MUMIN

    Sementara itu, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Penguasa Polis, Superintenden Hajah Mariyani binti Haji Abdul Wahab, selaku Timbalan Pengerusi PEKERTI.

    Manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pemangku Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini.

    Turut mengimarahkan Program Malam Munajat ialah kalangan ahli PEKERTI, para Muslimah dari beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, dan juga warga kerja wanita di bawah KHEU.

    Kehadiran isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi menyerikan lagi acara tersebut.

    Program Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai.

    Ini dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat serta penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

    Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheuwanita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda