SANTIAGO, 27 FEB – Warga Chile, Barbara Hernandez yang menjadi orang pertama mencatat rekod berenang sejauh 2.5 kilometer di Lautan Antartika berkata rasa takut dan bukan orang lain yang menjadi saingannya.
Wanita 37 tahun itu menamatkan cabaran tersebut dalam masa 45 minit dan 30 saat pada 5 Februari, dengan hanya mengenakan baju renang biasa, gogal, topi renang dan penyumbat telinga dalam suhu air sejuk mencecah 2.22 darjah Celsius.
Satu-satunya cara beliau dapat bertahan daripada cuaca sejuk itu adalah sifat tidak putus asa.
“Takut untuk gagal, tidak mahu mengecewakan mereka yang yakin pada diri saya adalah musuh terbesar saya,” kata perenang yang diberi gelaran ‘The Ice Mermaid’ atau ‘Duyung Ais’.
Hernandez menceritakan kesukarannya mengatasi halangan mental untuk menamatkan jarak terbabit sekitar 25 padang bola yang bermula dari kapal Tentera Laut Chile berhampiran Pulau Greenwich di Antartika.
Sejurus selepas melepasi garisan separuh jalan, beliau berkata, “Saya dapat merasakan sesuatu yang sejuk melalui jantung saya” – tanda-tanda hipotermia, dengan risiko serangan jantung dan kematian.
Namun demikian, beliau bertekad melakukan yang terbaik dan terus berenang dengan perlahan sehingga ke garisan tamat, berupa pelampung di tengah-tengah lautan itu.
“Ia satu cabaran yang sangat sukar,” kata Hernandez kepada AFP.
“Selepas sampai ke jarak batu pertama, saya rasa seperti saya tidak akan sampai pelampung itu, Saya rasa lengan saya berasa semakin berat,” katanya.
“Namun saya tidak menghiraukannya dan terus berenang hingga ke penamat.” – AFP