Wednesday, April 23, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Syria buka restoran vegetarian pertama

    SWEIDA, SYRIA – Ahlam Sarai, seorang wanita Syria yang berusia 54 tahun, akhirnya merealisasikan impiannya untuk membuka restoran vegetarian pertama di kampung halamannya, Sweida.

    Impian Sarai bermula lebih 11 tahun yang lalu, ketika dia diberi dorongan oleh dua anaknya untuk menjadi vegetarian dan berusaha memasak makanan yang menarik tanpa daging atau produk haiwan lain.

    Ramuan alternatif yang digunanya ialah seitan, gluten gandum, protein dan kepingan kacang soya yang boleh menjadikan hidangannya terasa seperti daging. Setelah menjadi tukang masak hidangan vegetarian, idea muncul di fikirannya: mengapa saya tidak membuka restoran untuk memasak hidangan vegetarian untuk orang ramai?

    Namun, Sarai mencuba perniagaan di rumah pada awalnya kerana kekurangan wang dan sumber yang diperlukan untuk membuka restoran. Dia mempromosikan hidangan vegetarian masakannya di media sosial dan menghantar makanan dengan menaiki bas.

    Ketika perniagaan Sarai berkembang, dia bertemu dengan rakannya sekarang dan membuka sebuah restoran yang telah berkembang lebih besar pada tahun lalu dan menarik lebih ramai pelanggan.

    Kelihatan beberapa makanan vegetarian yang siap dimasak oleh Ahlam Sarai di restorannya di Sweida, Syria. – Xinhua
    Beberapa orang pelanggan disajikan dengan makanan vegetarian yang dimasak oleh Ahlam. – Xinhua
    Ahlam Sarai memasak hidangan vegetarian di restorannya. – Xinhua

    Setiap pagi, wanita itu datang ke dapur, memakai penutup kepala dan sarung tangan, dan memasak pelbagai hidangan vegetarian untuk pelanggannya.

    Dia memasak burger dari gluten gandum dan hidangan lain seperti ayam dari potongan kacang soya. Sarai juga membawa masuk seorang cef pencuci mulut muda, seorang vegetarian yang membuat pencuci mulut dengan pemanis semula jadi seperti molases anggur.

    Wanita Syria itu berharap dapat menyebarkan idea vegetarian di negaranya, di mana daging adalah bahan utama dalam kebanyakan masakan tempatan, dengan menyediakan tempat khas untuk vegetarian yang mungkin merasa janggal ketika makan bersama rakan.

    Sarai berkata golongan vegetarian di Sweida terkejut dan gembira ketika mereka menjumpai sebuah restoran yang menyajikan makanan yang disukai mereka.

    Zeir Atrash, pelanggan tetap restoran Sarai yang berusia 22 tahun, berkata kepada Xinhua dia rasa diterima setelah restoran vegetarian dibuka di Sweida, kerana dia biasanya rasa malu ketika pergi ke restoran biasa dengan rakan-rakannya.

    Malah sekarang, restoran di ibu negara Damsyik telah mula memesan makanan dari restoran Sarai di Sweida untuk memenuhi penggemar vegetarian dan pelanggan lain yang ingin tahu mengenai makanan ini.

    Selain itu, mereka yang bukan vegetarian sebahagiannya tertarik dengan harga lebih murah yang ditawarkan oleh restoran Sarai, kerana ramai yang bergelut dengan mata pencarian mereka di tengah keadaan ekonomi sukar akibat sekatan AS terhadap Syria.

    “Ia juga impian menjadi kenyataan bagi kami dan pelanggan kami,” kata Sarai dengan bangga. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda