KOTA KINABALU, 19 APRIL – Warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri bermula hari ini, mengajak lebih ramai rakyat di negeri ini terutama generasi muda untuk mendaftar sebagai penerima vaksin itu.
Datuk Noni Said, 70, yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu, kerana petugas kesihatan yang terlibat akan memastikan penerima vaksin dalam keadaan baik dan vaksin itu telah disahkan selamat untuk digunakan.
“Penilaian dan pemeriksaan kesihatan penerima vaksin dilakukan petugas kesihatan adalah bertujuan untuk memastikan penerima vaksin ini dalam keadaan baik, dan diberi panduan untuk rujukan temu janji yang akan datang.
“Saya bersyukur kerana sudah diberi peluang untuk menerima vaksin dan saya mengajak semua untuk mendaftar vaksinasi, kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita bersama memerangi penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau merupakan seorang daripada 250 penerima vaksin pada majlis pelancaran fasa kedua program berkenaan, disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah ShahelmeyYahya, mewakili Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di sini. – Bernama