Oleh Yusrin Junaidi & Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Dua orang wanita warga Vietnam telah ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan sejumlah bayaran dalam serbuan berasingan.
Nguyen Thi Duy, 33, ditahan dalam operasi serbuan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di salah sebuah bilik penginapan di kawasan Gadong, kelmarin.
Wanita berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini dan dijatuhkan hukuman denda $1,000.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman turut memerintahkan Nguyen Thi Duy untuk menjalani hukuman dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tiba di negara ini pada 15 Jun 2018 menggunakan pas melawat yang sah sehingga 29 Jun 2018.
Dalam serbuan berkenaan tertuduh didapati bersama seorang lelaki.
Turut ditemui dalam bilik tersebut, ialah wang berjumlah $464; kondom yang sudah dan belum digunakan serta gel pelincir.
Sementara itu, seorang lagi wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Minh Hiep, 34, pula ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah hotel di kawasan Bandar Seri Begawan.
Turut ditemui semasa pemeriksaan tersebut beberapa bahan bukti seperti sejumlah wang tunai daripada bayaran-bayaran pelanggan serta kotak kondom.
Hasil daripada maklumat yang diperolehi, PPDB juga telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Vietnam, Dang Van Hoa berumur 32 tahun yang dipercayai ‘bapa ayam’.
Pemeriksaan yang dijalankan mendapati Dang Van Hoa sendiri yang berhubung dengan ‘umpan’ melalui aplikasi media sosial WeChat dan menyatakan harga perkhidmatan seks serta tempat bagi melakukan kegiatan tidak bermoral tersebut.
Ketiga-tiga suspek dan semua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.
PPDB menegaskan bahawa pihak berkenaan tidak akan bertolak ansur dalam membasmi kegiatan berunsur maksiat dan jika didapati terlibat, maka tindakan tegas akan dijalankan ke atas yang sesiapa sahaja yang menawarkan khidmat tersebut dan juga pelanggan berkenaan.
Dalam pada itu, PPDB juga menyarankan masyarakat awam agar tidak terjerumus dengan sebarang kegiatan yang tidak bermoral ini kerana negara ini tidak pernah sekali-kali membenarkan unsur-unsur negatif sedemikian yang bertujuan untuk merosakkan sendi-sendi keharmonian masyarakat ini bertapak di Negara Brunei Darussalam.