TOKYO, 19 APRIL – Wartawan sambilan Jepun Yuki Kitazumi yang ditahan di Yangon, Myanmar telah dipindahkan ke penjara, lapor Sputnik, memetik The Japan Times.
Kitazumi, yang sebelum ini pernah bekerja untuk Nikkei Business Daily, ditahan di rumahnya di Yangon pada malam Ahad. Menurut The Japan Times, Kedutaan Jepun di Myanmar telah mengesahkan perkara itu pada Isnin.
Rumah wartawan itu dilaporkan digeledah dan barang peribadinya turut dirampas.
Perdana Menteri Yoshihide Suga dipetik agensi berita Kyodo hari ini sebagai berkata kedutaan Jepun sedang mengumpul semua maklumat yang berkaitan. Suga berikrar akan melindungi rakyatnya yang berada di Myanmar.
Kitazumi ditahan pada Februari ketika membuat liputan mengenai tunjuk perasaan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/04/PAGE-10-wartawan_20042021.jpg)