Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada dengan kemunculan buaya

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan sedang giat menangani isu konflik manusia dan buaya untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung. Kebelakangan ini, kemunculan buaya sering dapat dilihat di perairan Brunei terutama di kawasan-kawasan kediaman awam serta persekitaran perkampungan Kampong Ayer.       

    Dalam hubungan itu, Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan meneruskan usaha melaksanakan beberapa program dan tindakan bagi menangani keadaan berkenaan. Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan mengambil langkah proaktif, sebagai usaha tambahan dengan melantik pakar menangkap buaya dari Sarawak iaitu Syarikat Crocter, yang telah dilantik pada 1 April 2024 dengan tempoh kontrak selama setahun.

    Syarikat Crocter telah berjaya menangkap dan memindahkan sebanyak 27 ekor buaya liar yang berkeliaran di sekitar perkampungan Kampong Ayer ke Pusat Menyelamat yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan di Kampung Sinaut.

    Daripada 27 tangkapan berkenaan, seekor ditangkap di Kampung Buang Sakar, seekor di Kampung Burung Pingai, seekor di Kampung Lorong Sikuna, dua ekor di Kampung Mentiri, tiga ekor di Kampung Pengkalan Sibabau, lapan ekor di Kampung Pintu Malim, empat ekor di Kampung Setia A, seekor di Kampung Sungai Kebun, seekor di Kampung Sungai Belukut, tiga ekor di Kampung Tamoi Tengah dan dua ekor di Kampung Tamoi Ujung.

    Sebahagian dari tangkapan buaya yang dibuat. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BAHAGIAN HIDUPAN LIAR

    Selain kawasan perkampungan Kampong Ayer, operasi itu juga dilanjutkan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti keberadaan lubuk-lubuk buaya yang berhampiran dengan kawasan Kampong Ayer dan telah berjaya membuat banyak tangkapan.

    Di samping itu, Syarikat Crocter bersama Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan juga bertanggungjawab dalam menangani aduan-aduan keberadaan buaya dari orang ramai selain daripada di Kampong Ayer.

    Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan turut menyatakan bahawa pelaksanaan program yang penting bagi menangani konflik manusia dan buaya adalah program kesedaran awam seperti jerayawara dan dialog bersama orang awam serta pelajar sekolah termasuk usaha pemasangan papan tanda amaran bahaya keberadaan buaya dan penyebaran poster.

    Selain itu, kerjasama juga turut ditingkatkan bersama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Polis Diraja Brunei dan juga melibatkan komuniti setempat dalam menangani konflik manusia dan buaya secara berterusan.

    Jabatan Perhutanan menyarankan terutamanya penduduk-penduduk yang mendiami dan juga orang ramai yang beraktiviti sepanjang perairan Brunei Darussalam hendaklah sentiasa peka dan menjaga kebersihan persekitaran.

    Jabatan Perhutanan turut menyeru kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan gangguan keberadaan buaya ke Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan. Orang ramai juga dinasihatkan berjaga-jaga serta mematuhi notis amaran papan-papan tanda keberadaan buaya-buaya yang dipasang bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka terpelihara.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda