Drama berkisarkan kisah kecurangan sedang menjadi trend dan banyak disajikan sebagai hiburan buat penonton.
Pernah melakonkan watak sebagai perosak rumah tangga, aktres Hannah Delisha tiada masalah memegang watak serupa pada masa hadapan.
Kata Hannah atau Hannah Adlina Blackburne Birch, 28, aktres bertudung tidak semestinya perlu berlakon watak baik disebabkan penampilan mereka.
“Saya pernah bawa watak perampas suami orang tapi itu sebelum saya berhijab.
“Saya memang tiada masalah kalau ada tawaran serupa sebab ia hanya lakonan untuk memberi pengajaran kepada penonton.
“Watak sebegitu membolehkan saya cabar diri sebagai pelakon dan wanita bertudung tak semestinya kena bawa watak baik,” katanya kepada mStar.
Bercerita lanjut, Hannah berkata, dia tiada kuasa untuk menghentikan trend lambakan drama tentang keretakan rumah tangga dan kecurangan.
Tambah pelakon Di Hatiku Ada Kamu itu, keputusan itu semuanya terletak pada pihak stesen televisyen dan produksi atas permintaan penonton.
“Banyak drama tentang rampas suami atau isteri orang ini di luar bidang kuasa saya sebab pada akhirnya keputusan itu dibuat oleh pihak stesen TV.
“Jika itu yang penonton mahukan dan suka, jadi kita ikut sahaja,” ujarnya. – Agensi