Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Sejumlah $3,000 hasil kutipan daripada Persatuan Kami Prihatin (WeCare) telah diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.
Majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Sumbangan bagi pihak Persatuan Kami Prihatin telah disampaikan oleh Presiden, Awang Muhammad Samira Razin bin Abdullah Sambut.
Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman.
Sumbangan derma yang dikumpulkan ini adalah hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan WeCare.
Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 14 Februari hingga 14 Mei 2023.
Tabung ini merupakan sebuah platform yang disediakan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang kepada orang ramai menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan telus, serta bagi membolehkan pelbagai pihak bagi menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan untuk meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang dilanda bencana alam gempa bumi pada 6 Februari lalu.
