Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wi-Fi stesen kereta api digodam pembenci Islam

    LONDON, 26 SEPT – Pegawai pengangkutan dan polis di United Kingdom (UK) berkata hari ini mereka sedang menyiasat insiden keselamatan siber selepas pengguna rangkaian Wi-Fi awam di stesen kereta api terbesar di negara itu melaporkan mesej anti-Muslim.

    Penumpang yang cuba mengakses Wi-Fi di 19 stesen, termasuk Manchester Piccadilly, Birmingham New Street, dan beberapa stesen di London, pada malam Rabu mendapati halaman yang tertera “Kami menyayangi awda, Eropah,” diikuti dengan mesej anti-Islam yang menyenaraikan beberapa serangan pengganas.

    Network Rail, yang menguruskan stesen-stesen tersebut, berkata bahawa Wi-Fi telah dimatikan dan tiada data penumpang yang diambil.

    “Polis Pengangkutan Britain sedang menyiasat insiden ini,” kata Network Rail dalam satu kenyataan. “Perkhidmatan ini disediakan melalui pihak ketiga dan telah ditangguhkan sementara siasatan dijalankan.” 

    Pasukan polis mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat laporan mengenai mesej Islamofobia pada beberapa perkhidmatan Wi-Fi Network Rail.

    Telent, syarikat yang menyediakan Wi-Fi di stesen-stesen tersebut, menyatakan bahawa “perubahan yang tidak dibenarkan” pada halaman pendaratan telah dibuat dari “akaun pentadbir yang sah” dan bahawa perkara tersebut kini sedang disiasat secara jenayah.

    Insiden itu menyusuli serangan siber yang lebih mengganggu pada awal September ke atas Transport for London, yang mengendalikan sistem bas, kereta api bawah tanah dan kereta api pinggir bandar di ibu negara.

    TFL berkata beberapa nama pelanggan, butiran hubungan dan butiran akaun bank yang berpotensi terdedah dalam serangan itu, yang sedang disiasat oleh Agensi Jenayah Kebangsaan.

    Seorang remaja berusia 17 tahun telah ditangkap atas serangan itu, disoal siasat dan diikat jamin tanpa didakwa.

    Beberapa minggu kemudian, serangan itu terus menjejaskan keupayaan syarikat transit untuk menyediakan beberapa perkhidmatan dalam talian seperti bayaran balik dan maklumat transit masa nyata. – AP

    Orang ramai berjalan di dalam stesen Waterloo di London, 20 Jun 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda