Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi’an ‘kurung’ 13 juta penduduk

    BEIJING, 22 DIS – Lebih 13 juta orang telah diarahkan untuk berkurung di rumah di bandar Xi’an, yang mengenakan sekatan pergerakan ketat hari ini dan mengawal perjalanan yang diperketat secara dramatik untuk memerangi penularan COVID-19 yang meningkat.

    Dengan Beijing bersedia untuk menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2022 pada Februari, China dalam keadaan berwaspada ketika ia memerangi penularan tempatan di beberapa buah bandar.

    Sekatan baharu itu dikenakan selepas Xi’an melaporkan 52 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 143 kes sejak 9 Disember lalu.

    Bermula tengah malam Khamis, semua seisi rumah hanya ‘menghantar seorang anggota keluarga keluar setiap dua hari untuk membeli barangan keperluan’, dengan yang lain diarahkan untuk kekal berada di dalam rumah kecuali hal-hal kecemasan, kata kerajaan bandar itu dalam satu kenyataan dalam akaun media sosial rasminya, Weibo.

    Penduduk ‘tidak perlu meninggalkan bandar itu kecuali hal-hal penting,” kata kerajaan, menambah bahawa mereka yang berhasrat untuk keluar rumah perlu memberikan bukti ‘keperluan khusus’ dan memohon kelulusan.

    Gambar yang diambil pada 21 Disember menunjukkan kakitangan kesihatan mengutip sampel saringan di sebuah taman tema salji dan ais di Wuhan, wilayah Hubei, China. – AFP

    Perintah itu dikuatkuasakan sehari selepas bandar itu mula menjalankan saringan ke atas 13 juta penduduknya.

    Stesen bas jarak jauh ditutup dan pihak berkuasa menyediakan pusat pemeriksaan kawalan penyakit di lebuh raya di luar dari Xi’an, menurut notis kerajaan.

    Lebih 85 peratus penerbangan menuju dan dari lapangan terbang utama bandar itu dihentikan, menurut penjejak penerbangan VariFlight.

    Manakala itu, kapasiti penumpang bas dan kereta api di dalam bandar dikurangkan selain sekolah ditutup.

    Semua perniagaan dan kemudahan awam ‘tidak penting’ selain pasar raya, kedai serbaneka dan institusi perubatan diarah tutup manakala kerajaan tempatan menggesa majikan membenarkan orang ramai bekerja dari rumah, lapor CCTV.

    Mesyuarat berskala besar termasuk aktiviti di kawasan terbuka ditangguhkan, manakala muzium menempatkan Tentera Terracotta yang terkenal di dunia iaitu makam Maharaja pertama China berusia 2,000 tahun, ditutup sehingga dimaklumkan kelak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda