Kehidupan pemain bola sepak Zaquan Adha dan isteri, Ayu Raudhah terasa sunyi selepas pemergian anak bongsu mereka iaitu Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees.
Meskipun berat ujian dilalui itu, Zaquan atau Mohamad Zaquan Adha Abd Razak, 38, bagaimanapun percaya putera kecilnya itu kini berada di tempat yang lebih tenang dan bahagia.
“Ya Allah. Dua hari yang sangat sunyi tanpa anak syurga daddy. Berbahagialah adik Raees di sana,” katanya menerusi satu hantaran di cerita Instagram.
Di sebalik kesedihan yang melanda, Zaquan berharap agar Raees hadir dalam mimpinya untuk memberikan sedikit ketenangan.
Malah dia mengakui berusaha menjadi seorang bapa yang tabah dan kuat demi keluarga tercinta meskipun terlalu berat untuk menghadapi kehilangan ini.
“Semoga anak daddy hadir dalam mimpi daddy. Daddy cuba kuat untuk hadapi semua ini. Beri aku kekuatan ya Allah,” ujarnya.
Pada Selasa lalu, anak damit berusia enam bulan itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.
Untuk rekod, Zaquan dan Ayu Raudhah mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011.
Mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 12, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P18-NEW-1A-Bernama_15022025.jpg)