Selepas lima tahun tidak bersua muka, pelakon Zara Zya terkejut apabila bekas tunangnya iaitu Hafreez Adam datang menyapa dan bertanya khabar semasa mereka sama-sama berada di majlis pelancaran program Ramadan Astro pada petang kelmarin.
Kata Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 38, selepas membawa haluan masing-masing, mereka tidak pernah bertemu di mana-mana acara hiburan.
“Sejak putus tunang, kami tak pernah langsung berjumpa dalam mana-mana program. Bukan mengelak tetapi memang acara yang kami hadiri berbeza.
“Namun, hari ini (Khamis) buat pertama kalinya kami bertemu di acara ini. Selepas bergambar beramai-ramai, dia ada bertemu saya, bertanya khabar dan itu sahaja, terkejut jugalah,” katanya.
Memetik kenyataan mStar, meskipun hubungan cinta mereka terputus di tengah jalan, Zara berkata sentiasa bersikap profesional dan enggan mengenang kisah lalu.
“Kami profesional dan tiada isu antara satu sama lain.
“Benda yang lepas biarkan berlalu. Kami berpisah pun bukan kerana isu besar kerana masing-masing ada jalan sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zara berkata dia juga terbuka untuk bekerjasama bersama bekas tunangnya sekiranya diberikan peluang itu. – Agensi