Syawal yang tiba pasti menggamit memori lama, baik suka, duka mahupun gurauan lucu yang andai dikenang, pasti mengundang tawa.
Sepanjang tiga dekad bergelar anak seni, Ziana Zain mengaku pelbagai kenangan manis bermain dalam ingatan setiap kali Aidilfitri menjelma.
Menyingkap cerita lama, Ziana berkata, antara kenangan hari raya yang masih basah dalam fikiran adalah ketika zaman kanak-kanak.
“Ketika zaman saya kecil dahulu, kami menetap di Kampung Melayu, Subang. Abah bekerja sebagai anggota polis dan setiap kali hari raya, dia tidak pernah cuti.
“Apabila ditanya, abah lebih suka bekerja kerana mahu menggantikan rakan setugas yang pulang ke kampung.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P17-C-paper-web_27042023.jpg)
“Disebabkan kami tidak balik kampung, apabila pagi hari raya, abah siapkan termasuk mendandan kami adik beradik untuk pergi beraya.
“Hari pertama kami yang perempuan beraya dengan baju kurung. Kami berarak di sekitar kawasan tempat tinggal.
“Hari kedua pula, kami pakai gaun bertingkat. Memang abah yang tentukan fesyen apa yang mahu digayakan pada hari raya.
“Kami juga dibekalkan dengan gincu dan sapu tangan untuk kami lap peluh. Bagi mengelak mekap rosak, abah suruh tekap dengan sapu tangan,” katanya kepada BH Online.
Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain teringat ketika namanya di puncak kegemilangan, dia tidak dapat menikmati hari raya sepenuhnya berikutan jadual kerja padat.
“Kalau dahulu, pada hari raya pertama saya sudah terpacak di RTM untuk program mereka.
Ini disusuli pelbagai acara. Tiba-tiba, hari raya pun sudah habis.
“Itu belum soal melayan peminat dan saudara mara yang datang. Ada peminat yang sampai jam 3 pagi beraya,” katanya. – Agensi