HARARE, 26 Jun – Kerajaan Zimbabwe memutuskan untuk menyediakan kawalan keselamatan kepada semua calon pilihan raya umum yang akan berlangsung pada 30 Julai depan, jika merasakan diri mereka diancam atau berada dalam keadaan bahaya.
Naib Presiden Constantino Chiwenga berkata demikian semasa menghadiri kempen di Chitungwiza, selatan Harare.
Dia berkata, kejadian letupan bom pada Sabtu lalu, sejurus Presiden Emmerson Mnangagwa beredar meninggalkan podium selepas berkempen di Bulawayo, merupakan serangan keganasan.
Jelas Chiwenga, walau apa pun berlaku pilihan raya tetap akan dijalankan pada tarikh ditetapkan.
Sekurang-kurangnya 49 orang cedera dalam insiden di Stadium White City yang dikatakan disasarkan ke atas Mnangagwa.
Antara yang cedera ialah Naib Presiden Kembo Mohadi, menteri kabinet Oppah Muchinguri-Kashiri, isteri Chiwenga Marry, Setiausaha Liga Wanita Zanu-PF Mabel Chinomona dan komisar politik nasional Engelbert Rugeje.
Mnangagwa terselamat dalam kejadian itu dan dipindahkan ke Rumah Negeri Bulawayo.
Menurut polis, pihaknya telah melancarkan siasatan dan orang ramai yang tampil memberikan maklumat akan diberikan ganjaran.
“Serangan di Bulawayo tidak menggugat kami. Jika ada sesiapa yang merasa takut dan bimbang kami akan memberikan kawalan keselamatan terhadap mereka,” kata Chiwenga.
Rekod dicatatkan pada pilihan raya kali ini, dengan seramai 23 calon akan bersaing untuk merebut jawatan presiden manakala ratusan lagi bakal merebut kerusi perundangan dan tempatan. – Bernama