NKANDLA, AFRIKA SELATAN, 22 JULAI – Bekas presiden Afrika Selatan Jacob Zuma dibenarkan meninggalkan penjara hari ini untuk menghadiri pengebumian adiknya, kata kerajaan.
Zuma, 79, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan kerana menghina mahkamah pada bulan lalu selepas menghina pegawai rasuah yang menyiasat beliau.
Beliau menyerah diri pada 8 Julai untuk menjalani hukumannya di tenggara bandar Estcourt, dan adiknya Michael, 77, meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Penahanannya mencetuskan rusuhan dan penjarahan yang bertukar menjadi keganasan paling teruk sejak berakhirnya era aparteid, membunuh sekurang-kurangnya 276 orang, menurut perangkaan rasmi.
Zuma hari ini dibawa ke kampung halamannya di Nkandla, 175 kilometer dari Estcourt, di mana upacara pengebumian dijangka diadakan, beritahu seorang pegawai kerajaan yang tidak ingin mendedahkan namanya kepada AFP.
Tentera mengawal jalan raya menuju ke rumah beratapkan zink di mana keluarga Zuma tinggal, dikelilingi oleh bukit. Adik Zuma meninggal dunia pada 11 Julai selepas sakit lama, menurut media tempatan.
Bekas presiden itu diberikan ‘cuti belas kasihan’ 24 jam untuk menghadiri pengebumian sebagai banduan ‘jangka pendek, tidak berisiko,’ kata jabatan perkhidmatan penjara dalam satu kenyataan.
Ia menambah banduan tidak diwajibkan memakai pakaian seragam ‘banduan’ di luar pusat penjara, memberi petunjuk Zuma tidak akan memakai pakaian penjara warna jingga untuk menghadiri upacara tersebut.– AFP
