Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 maut akibat wabak Marburg di Rwanda

    KIGALI, 2 OKT – Lima lagi individu di Rwanda meninggal dunia akibat penyakit Marburg yang menyerupai Ebola, membawa jumlah kematian kepada 11 orang, kata Kementerian Kesihatan lewat kelmarin.

    Dengan kadar kematian sehingga 88 peratus, demam berdarah yang amat berjangkit itu sering disertai dengan pendarahan dan kerosakan organ.

    Kira-kira 29 orang telah disahkan dijangkiti penyakit itu sejak permulaan wabak pada 27 September, kata Kementerian Kesihatan Rwanda dalam laporan terkini.

    Daripada jumlah itu, 19 sedang diasingkan dan menerima rawatan di seluruh negara.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika berkata kelmarin bahawa kebanyakan kes adalah pekerja penjagaan kesihatan dan lebih daripada 290 kontak telah dikesan.

    Marburg adalah sebahagian daripada famili filovirus yang juga termasuk Ebola, yang telah mencetuskan keadaan kucar-kacir dalam beberapa wabak sebelumnya di Afrika.

    Virus itu tersebar melalui sentuhan dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

    Rwanda telah menolak untuk melaksanakan sekatan bagi memerangi virus itu. Sebaliknya, orang ramai diseru untuk mengelakkan sentuhan tubuh badan.

    Pada masa ini tiada vaksin atau rawatan antivirus, tetapi rawatan berpotensi, termasuk produk darah, terapi imun dan ubat serta vaksin calon awal sedang dinilai. – AFP

    Seorang pekerja perubatan memakai peralatan perlindungan penuh membawa makanan ke khemah pengasingan menempatkan seorang lelaki yang dikuarantin selepas bersentuhan dengan pembawa Virus Marburg, di Hospital Kebangsaan Kenyatta di Nairobi, Kenya pada 8 Oktober 2014. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda